PARIS, 27 Julai- Beregu campuran negara, Chen Tang Jie- Toh Ee Wei membuka tirai aksi kumpulan D Olimpik Paris 2024 dengan kemenangan straight set ke atas pasangan Singapura, Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han.
Pada aksi yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena,gandingan negara berjaya menampilkan aksi bertenaga di set pertama.
Namun, ketika mendahului 21-17, corak permainan mereka serba tidak menjadi apabila pukulan yang dilakukan kerap keluar dan tersangkut di jaring.
Situasi itu dimanfaatkan gandingan Singapura untuk mengejar mata demi mata sehingga kedudukan 20 sama.
Tang Jie- Ee Wei bagaimanapun berjaya menyekat kebangkitan lawan untuk menang 23-21.
Bersambung set kedua, pasangan ke-9 dunia itu memperkemaskan lagi taktikal untuk menguasai permainan.
Tampil dengan aksi lebih agresif, mereka mendahului 17-6 pada satu ketika dan mereka terus berjaya mengurangkan kesilapan untuk menang 21-12.
Perlawanan seterusnya berdepan wakil Amerika Syarikat, Vinson Chiu- Jenny Gai.
Sementara itu dalam aksi pertama Kumpulan A bagi saingan beregu lelaki, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut bermula dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan sengit dalam pertemuan dengan Ben Lane- Sean Vendy dari England.
Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 itu dilihat agak tertekan di set pertama, menyaksikan mereka tumpas 19-21.
Di set kedua, Aaron-Wooi Yik turun ke gelanggang dengan aksi lebih kemas.
Asakan-asakan yang dilakukan kerap memerangkap lawan untuk menang 21-16.
Aaron- Wooi Yik kemudian meneruskan momentum untuk menang 21-11.
Lain pula ceritanya dalam aksi beregu wanita apabila Pearly Tan- M Thinaah tumpas kepada pilihan utama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dalam saingan kumpulan D.
Set pertama menyaksikan gandingan China lebih menguasai perlawanan.
Biarpun Pearly-Thinaah cuba memberi saingan, namun terpaksa akur dengan kekalahan 17-21.
Set kedua menyaksikan aksi seimbang kedua-dua beregu.
Sehinggalah ketika mata terikat 20-20, tuah dilihat memihak Qing Chen dan Yi Fan untuk menang 22-20.