SURABAYA, 26 Jun - Atlet judo negara, Nur Farah Izzati Wallah meraih emas pertama Malaysia pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 Surabaya-Malang dalam saingan akhir kategori bawah 52 kilogram wanita di Pusat Konvensyen Airlangga, Surabaya, hari ini.
Kemenangan itu turut menyaksikan Izzati bakal menerima insentif RM3,000 yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Ini adalah emas pertama untuk diri saya dan ini merupakan pertama kali saya jejaki AUG. Alhamdulilah. Sebelum saya datang sini pun kereta saya rosak dan itupun ketika perjalanan saya ke sesi latihan. Mungkin ada hikmah sebalik kejayaan ini. Sudah tentu insentif itu akan membantu saya," kata Izzati.
Izzati berjaya merangkul emas pada penampilan sulungnya selepas penyertaan lawan dari Indonesia, Maryam March Maharani yang baru sahaja melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024 itu dibatalkan atas kecuaian sendiri.
Atlet tuan rumah itu didapati memiliki benda asing (airpod) dalam poket bajunya, lalu, penyertaan dibatalkan pengadil.
Terdahulu atlet berusia 23 tahun itu menundukkan lawannya dari Singapura Yeo Shu Wen dengan kiraan satu 'Ippon' untuk mara ke saingan akhir.
Ini bukan sahaja penampilan kali pertama malah juga terakhir di AUG bagi Izzati yang kini berada dalam semester terakhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dalam pada itu, Izzati berharap pihak UPM akan terus memperkasakan sukan judo di institut tersebut.
"Saya mengharapkan UPM akan tubuhkan satu pasukan khas bagi judo untuk majukan sukan itu di UPM. Sebab di UPM belum ada lagi pasukan sukan judo. Jadi, kami kena berlatih di luar dengan menggunakan duit sendiri," katanya.