fb fb fb fb fb

Nafuzi hargai kecekalan dan pengorbanan pemain

Ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain / Foto RTM

ALOR SETAR, 2 Mei - Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA FC), Nafuzi Zain berbangga dengan kecekalan dan pengorbanan para pemain pasukan berkenaan dalam mendepani isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan tersebut musim lalu.

Jelas Nafuzi, sikap terpuji yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya itu memberinya semangat dalam usahanya membina semula skuad Sang Kenari bagi menghadapi saingan Liga Super yang bakal bermula pada 11 Mei ini.

"Saya kena berterima kasih kepada para pemain yang lama kerana masih setia bersama saya, walaupun pasukan dilanda 'ribut taufan' dan berbagai-bagai masalah lain.

"Ucapan terima kasih juga kepada pemain-pemain baharu yang bagus dan berkualiti kerana sanggup bermain dengan penuh komitmen. Saya amat menghargai kesemuanya", kata Nafuzi yang ditemui pemberita pada sidang media selepas perlawanan persahabatan menetang Penang FC di Stadium Darul Aman di sini.

Pada aksi itu, Kedah menang 3-1 hasil dua gol penyerang utama dari Serbia  Milos Gordic sementara satu gol oleh Habib Haroon manakala gol saguhati Penang FC pula dijaringkan oleh pemain import Richmond Ankrah.

Tambah Nafuzi, meskipun isu tunggakan gaji selesai, komitmen para pemain KDA FC pada setiap sesi latihan dan perlawanan pramusim dilihat sangat positif.

Selepas ini KDA FC akan menghadapi praperlawanan persahabatan terakhir di Alor Setar dengan bertemu Melaka FC pada 4 Mei sebelum sepak mula  Liga Super pada Sabtu depan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD