fb fb fb fb fb

Mats Deijl tidak lepasi Syarat Kelayakan FIFA

Pemain kelab Go Ahead Eagles, Mats Deijl

KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mengesahkan bahawa pemain kelab Go Ahead Eagles dari Belanda, Mats Deijl tidak melepasi syarat kelayakan untuk menyertai skuad Harimau Malaya.

Ini kerana, berdasarkan dokumentasi-dokumentasi yang telah dilampirkan, didapati bahawa pemain berusia 27 tahun itu hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang beliau dan bukannya melalui datuk atau nenek sepertimana yang ditetapkan dalam syarat FIFA.

Terdahulu, pemain ini telah menunjukkan minat beliau untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dan FAM telah dimaklumkan bahawa pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia.

Justeru FAM sejak dari 27 Jun 2024 telah pun dapat menghubungi secara rasmi kelab, ejen dan pemain itu sendiri bagi membincangkan mengenai kelayakan beliau untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Malaysia.

Hasil perbincangan, pemain ini telah memberikan dokumen-dokumen berkaitan susur galur keluarganya yang menunjukkan beliau mempunyai hubung kait dengan negara Malaysia termasuk sijil lahir beliau, ayahnya, datuknya (sebelah ayah) serta pengesahan kelahiran moyangnya (sebelah ayah) iaitu ibu kepada datuk pemain tersebut.

Berdasarkan semakan, pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang telah lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, yang mana Singapura merupakan sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu.

Dengan merujuk kepada Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA berkaitan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan, (Regulations Governing The Application Of The Statutes), mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika pemain tersebut memenuhi syarat seperti berikut.

Pertama, pemain itu lahir di negara tersebut; atau kedua, ibu pemain dan ayah pemain lahir di negara tersebut; atau ketiga, datuk dan nenek pemain lahir di negara tersebut; atau keempat, pemain itu menetap di negara tersebut melebihi tempoh lima tahun.

Bagi mendapatkan pengesahan secara rasmi berkenaan kelayakan pemain ini, FAM pada 23 September 2024 telah menghantar surat kepada FIFA bagi mendapatkan pandangan FIFA mengenai status pemain ini yang ingin mewakili Malaysia melalui darah keturunan moyangnya (ibu kepada datuk pemain).

FIFA melalui surat bertarikh 25 September 2024 telah menghantar maklum balas mengenai perkara ini dan memaklumkan bahawa: "Unfortunately, the player’s ascendants’ nationalities beyond his grandparents (i.e., the player’s great grandparents or ulterior ascendants) do not grant the Player the possibility to be eligible to represent your association’s representative team(s), as the list set forth in art. 8 par. 1 lit. c) of the RGAS is exhaustive."

Berdasarkan jawapan FIFA itu, FAM mengesahkan bahawa pemain ini tidak dapat mewakili pasukan kebangsaan Malaysia disebabkan darah keturunan Malaysia adalah daripada moyangnya (ibu kepada datuk pemain) dan bukan di peringkat datuk atau nenek pemain sepertimana syarat ditetapkan oleh FIFA.

FAM bagaimanapun tetap berterima kasih kepada pemain ini atas minat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia, namun ia tidak dapat direalisasikan.

Trainee2