GEORGE TOWN, 1 Ogos- Selepas mengharungi tujuh perlawanan, akhirnya Penang FC meraih kemenangan pertama di laman sendiri selepas berjaya membenam Kelantan Darul Naim (KDN) FC3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, di sini malam ini.
Beraksi di hadapan 1,543 penyokong, Penang FC bermula garang seawal minit permainan menerusi beberapa percubaan Ke arah pintu gol pasukan pelawat.
Gol pertama muncul pada minit ke-12 hasil tandukan pemain import dari Brazil .Rodrigo Da Silva Dias, hasil hantaran pemain pertahanan Fairuz Zakaria.
KDN FC yang terdesak mendapatkan jaringan cuba bangkit namun ketangkasan pemain tuan rumah berjaya menyekat kemaraan pasukan lawan.
Pada minit ke-19 skuad Harimau Kumbang hampir menambah jaringan namun percubaan pemain tengah Muhammad Izzat Zikri Izziruddin tersasar ke kiri pintu gol KDN FC.
Pasukan tuan rumah terus beraksi cemerlang apabila Nik Akif Syahiran Nik Mat berjaya meledakkan gol kedua hasil hantaran Dias pada ke-34.
Pada minit ke-41, KDN FC cuba bangkit menerusi serangan tepat pemain pertahanan Adam Danial Md Zaid ke arah pintu gol namun berjaya ditepis penjaga gawang tuan rumah Sikh Izhan.
Bersambung di babak kedua, pasukan kendalian Ahmad Rizal Ahmad Rakhili menggandakan asakan dan dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-75 selepas kapten pasukan, Rafael Vitor dijatuhkan dalam kotak penalti.
Peluang terhidang tidak disia-siakan apabila Vitor berjaya meledak gol ketiga yang turut menjadi kenangan manis buat pemain kelahiran Brazil itu pada penampilan ke-00 dengan pasukan berkenaan.
Gol itu sekali gus menjadi gol kemenangan buat Penang FC yang kini naik ke tangga ketujuh dengan sembilan mata manakala KDN FC terus buntu mencari kemenangan dan menghuni kedudukan tercorot liga dengan tiga mata. - BERNAMA