AMPANG, 27 Mei - Pengendali Gombak FC, Shahrom Kalam menyifatkan saingan Liga A1 Semi-Pro adalah pentas terbaik untuk menimba pengalaman sebagai jurulatih.
"Syukur Alhamdulillah, bukan mudah untuk mendapat peluang, apatah lagi kita jurulatih muda.
"Bagi saya, satu platform yang baik untuk menunjukkan bahawa jurulatih muda juga mampu untuk bersaing dengan jurulatih senior dan saya cuba membawa revolusi bola sepak moden ke dalam pasukan ini", katanya demikian kepada pemberita selepas pelancaran Jersi Gombak FC di sini.
Mengulas persiapan pasukan untuk menghadapi perlawanan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 1 Jun ini, Shahrom menyifatkan barisan pemainnya berada dalam keadaan terbaik untuk mencapai misi menghuni kedudukan tiga teratas.
Sekali gus memburu slot ke Liga Super.
Beliau juga melihat Imigresen FC, KL Rovers dan Melaka FC sebagai pasukan pencabar terkuat saingan musim ini.