LOS ANGELES, 21 November - Bintang bola keranjang Amerika Syarikat (AS) LeBron James, mengambil keputusan untuk berehat daripada media sosial untuk tempoh yang tidak ditetapkan.
Beliau menyatakan demikian menerusi akaun X miliknya selepas berkongsi satu hantaran oleh Rich Kleiman, bekas ejen bintang NBA Kevin Durant yang mengkritik liputan dan laporan negatif serta tidak membina media AS.
"Dan dengan itu, saya akan berhenti sekejap! Jumpa lagi, jaga diri," tulis James di X.
Ini bukan kali pertama bintang Los Angeles Lakers itu berbuat demikian, namun lazimnya untuk memberi tumpuan kepada kerjaya bola keranjangnya.
James, yang mempunyai sekitar 212 juta pengikut gabungan di Instagram dan X, kerap menunjukkan rasa kurang senang dengan kritikan dalam talian setiap kali perlawanan yang menurutnya sangat berbahaya kepada kesihatan mental dan tumpuannya. - AFP