fb fb fb fb fb

Kes serangan tiga pemain bola sepak, FAM minta semua pihak beri ruang polis siasat

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta semua penyokong bola sepak memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan berhubung insiden serangan jenayah ke atas tiga pemain negara baru-baru ini / Foto Fail Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Mei - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta semua penyokong bola sepak memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan berhubung insiden serangan jenayah ke atas tiga pemain negara baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak membuat kenyataan yang boleh menghangatkan lagi keadaan.

"Amat penting bagi sesebuah pasukan dan pengurusan mereka untuk tidak membuat kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai atau memulakan perbicaraan awam ketika insiden itu masih dalam siasatan pihak polis,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Noor Azman kenyataan terbuka seperti itu secara tidak langsung akan menimbulkan pelbagai persepsi lebih buruk sehingga mengganggu siasatan pihak polis.

Beliau turut menyatakan kerisauan FAM terhadap insiden yang menimpa Faisal Halim, Akhyar Rashid dan Safiq Rahim.

Namun FAM katanya tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat ketiga-tiga insiden itu kerana semuanya berlaku di kawasan awam.

Bagaimanapun, katanya pihak polis sering memberikan perkembangan secara berkala kepada FAM mengenai usaha dan siasatan yang dijalankan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN