MIAMI, 15 September- Lionel Messi mempamerkan aksi memukau sekembalinya bersama pasukan setelah berehat akibat kecederaan pada Sabtu.
Messi menjaringkan dua gol dalam masa empat minit serta mencatatkan satu umpanan menerusi kemenangan 3-1 Inter Miami ke atas Philadelphia Union dalam saingan Major League Soccer.
Pemenang Ballon d'Or sebanyak lapan kali itu tidak bermain sejak mengalami kecederaan di pergelangan kaki kanan semasa final Copa America pada 14 Julai, ketika membantu Argentina meraih kemenangan ke atas Colombia.
Sejak itu, dia terlepas lapan perlawanan MLS untuk kelabnya serta kelayakan Piala Dunia untuk negaranya bulan ini.
Messi tidak bermain untuk Inter sejak 1 Jun, tetapi dia terus bersinar apabila dimasukkan dalam kesebelasan utama.
"Sejujurnya saya agak penat," katanya selepas perlawanan. "Cuaca panas dan kelembapan di Miami memang tak membantu, tapi saya sangat mahu kembali, saya dah lama tak turun padang.
"Sedikit demi sedikit saya berlatih bersama pasukan, rasa makin baik dan itulah sebabnya kami putuskan saya akan beraksi semula dan saya sangat gembira."
Jurulatih Miami, Gerardo Martino, turut gembira melihat bintang mereka beraksi dengan baik selepas bermain 90 minit.
Philadelphia membuka tirai seawal minit kedua menerusi rembatan kaki kiri Mikael Uhre dari luar kotak penalti.
Messi menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-26, menerima hantaran daripada Luis Suarez dan mengatasi pertahanan Kai Wagner sebelum melepaskan rembatan kaki kanan untuk melengkapkan gerakan yang dimulakan Jordi Alba dari kiri.
Empat minit berselang, Messi menyumbat lagi jaringan minit ke-30, sekali lagi bergandingan dengan Alba dan melepaskan rembatan kaki kiri dari tengah kotak penalti ke sudut kanan bawah gol.
Inter hampir menjadikan kedudukan 3-1 sebelum separuh masa apabila Suarez menjaringkan gol, tetapi gol itu dibatalkan selepas semakan VAR.
Namun, Suarez berjaya menambah jaringan dalam masa kecederaan separuh masa kedua menerusi umpanan Messi yang turut menerima kad kuning pertamanya dalam MLS kerana melengah-lengahkan sepakan sudut.
Jurulatih Miami, Gerardo Martino, menyatakan bahawa gol lewat itu membuktikan keputusannya untuk mengekalkan kedua-dua pemain di atas padang hingga tamat perlawanan adalah tepat, dengan berkata "mereka berdua bermain sepanjang perlawanan kerana mereka memang mampu menamatkan perlawanan."
Kemenangan itu melonjakkan Inter Miami lebih jauh di puncak kedudukan MLS dengan 62 mata, 10 mata di hadapan pencabar terdekat mereka di Eastern Conference, FC Cincinnati, dengan baki enam perlawanan dalam musim biasa.
Messi turut gembira, walaupun terlepas beberapa perlawanan, pasukannya masih mendahului perebutan Supporters' Shield yang dianugerahkan kepada pasukan yang mendahului kedudukan keseluruhan.
"Sepanjang tahun ini, kami memang kurang bernasib baik dengan kecederaan, kami tidak pernah beraksi dengan kekuatan penuh," kata Messi. "Atas satu sebab atau yang lain, selalu ada pemain yang tidak dapat bermain, tapi pasukan tetap berjaya menanganinya."
"Hari ini, kami berada di tempat pertama dengan kelebihan yang besar, dan memang layak, harapnya kami dapat kekal di puncak hingga tamat musim untuk apa yang akan datang selepas itu."
Dua gol Messi, yang membawanya kepada 14 gol dalam hanya 13 perlawanan, telah meletakkannya kembali dalam persaingan untuk gelaran penjaring terbanyak.
Sementara itu, Suarez telah mengumpul 17 gol dan hanya dua di belakang penjaring terbanyak MLS sekarang, Christian Benteke dari DC United.
Messi, yang berusia 37 tahun dan dalam musim keduanya di Amerika Syarikat, kini menjadi pemain terpantas yang mencatat 15 gol dan 15 umpanan pertama dalam MLS, hanya dalam 19 perlawanan.- AFP