fb fb fb fb fb

JWC 2023: Jerman mahu fokus pamer prestasi terbaik

Ketua Pasukan Hoki Jerman Matteo Poljaric pada sesi sidang media bagi persiapan Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Bukit Jalil / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Disember- Skuad hoki lelaki Jerman enggan terlalu memikirkan soal memburu gelaran juara buat kali ketujuh, sebaliknya akan melakukan yang terbaik pada perlawanan Piala Dunia Remaja (JWC) 2023 pada 5 hingga 16 Dis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kapten pasukan Matteo Poljaric, 21, yang bermain di posisi tengah bagi pasukan ranking kedua dunia itu berkata rakan sepasukannya hanya ingin fokus dalam mempamerkan prestasi terbaik dengan misi mesti menang pada perlawanan pembukaan menentang Afrika Selatan nanti.

"Kami tidak sabar menantikan kejohanan bermula. Tekanan? Saya tidak fikir kami terlalu bimbang dengan hakikat (juara enam kali).

"Jadi, kami perlu fokus pada perlawanan dan pasukan. Sepertimana (ketua jurulatih) Rein (van Eijk) katakan, sejarah ialah sejarah dan kami ingin melakar sejarah sendiri," katanya kepada pemberita di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Sementara itu, Rein, 35, menjangkakan pertarungan yang sukar menentang Afrika Selatan yang berada di kedudukan ke-10 dunia apabila beberapa nama besar seperti Mustapha Cassiem, 21, yang bermain di posisi hadapan, akan beraksi pada perlawanan itu.

"Ia akan menjadi lawan yang sukar. Kami sudah bertemu mereka dua kali di Johor empat minggu lepas. Pasukan kali ini akan berbeza dengan penampilan pemain paling berpengalaman iaitu Mustapha dalam skuad," katanya.

Pasukan Jerman diundi dalam Kumpulan B dan akan memulakan kempen menentang Afrika Selatan pada Selasa, diikuti aksi dengan Perancis pada Rabu dan menutup perlawanan kumpulan bertemu Mesir pada Jumaat.

Skuad Jerman memenangi gelaran JWC pada 1982, 1985, 1989, 1993, 2009 and 2013.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE