AL WAKRAH, 26 Januari - Ketua Pasukan Korea Selatan dan bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min menggesa agar media dan penyokong tidak mengeluarkan kritikan melampau terhadap pasukan berkenaan selepas mara ke pusingan 16 terakhir Piala Asia pada Khamis apabila juara dua kali itu sekadar menduduki tangga kedua dalam kumpulan E.
Korea Selatan yang sebelum ini dilabelkan sebagai pasukan pilihan kejohanan dilihat tidak berada dalam prestasi terbaik apabila mudah melepaskan gol pada setiap perlawanan termasuk menentang Malaysia yang berkesudahan seri 3-3.
Penyerang itu dilaporkan berkata sebahagian komen yang diterima oleh pasukannya beberapa hari yang lalu tidak sepatutnya diulangi kembali.
"Saya ingin memohon satu perkara kepada media dan para penyokong.
"Tolong lindungi para pemain ketika kejohanan berlangsung bagi menolong pasukan.
"Ini sesuatu yang sangat menyedihkan dan menyakitkan buat pasukan", kata Son kepada pemberita berhubung kritikan yang diterima pasukan.
"Terdapat para pemain yang menerima kritikan atau komen yang melampaui batas.
"Ia adalah sesuatu yang menyakitkan sebagai rakan sepasukan melihat para pemain disakiti selepas menerima kritikan.
"Kami berusaha bermati-matian di atas padang. Kami cuba memberikan segalanya buat para penyokong dan negara tercinta.
"Jadi, tolong lindungi para pemain dan rakan sepasukan", tambah Son.
Korea Selatan menamatkan kelayakan peringkat kumpulan dengan lima mata ketinggalan satu mata di belakang Bahrain.
Menurut Son, keputusan berkenaan merupakan peringatan buat skuad bimbingan Jurgen Klinsmann untuk bangkit dalam usaha mencari kejuaraan ketiga dalam tempoh 64 tahun.
Sementara itu, Son turut menghamburkan pujian kepada pasukan Malaysia yang mempamerkan aksi mantap dan enggan menyerah kalah ketika menentang Korea Selatan.
"Tiada pasukan yang boleh mendabik dada sebagai pasukan pilihan. Ini kerana setiap kejohanan akan ada pasukan bukan pilihan yang mampu menewaskan anda.
"Ia adalah sesuatu yang bagus buat bola sepak Asia. Pertandingan seperti ini menjadi semakin sukar.
"Semua pasukan Asia kini menumpukan kejohanan ini. Ini petanda baik buat bola sepak Asia.
"Ia adalah keputusan yang sengit. Kredit kepada pasukan Malaysia kerana berjuang sehingga tamat permainan. Saya sangat bangga dengan bola sepak Asia", tambah Son. -REUTERS