fb fb fb fb fb

Guardiola ragu masa depannya bersama Man City

Foto AFP

MANCHESTER, 20 Mei- Pep Guardiola meragui masa depannya di Manchester City pada Ahad selepas memenangi kejuaraan Liga Perdana yang bersejarah, kali keempat berturut-turut.

Kemenangan 3-1 City menentang West Ham mengesahkan gelaran keenam liga utama dalam tujuh musim di bawah kendalian legenda Catalan itu, telah membawa kelab ke tahap luar biasa sejak tiba pada 2016.

Guardiola merekodkan kemenangan 13 kali, melebihi Alex Ferguson ketika tempohnya mengemudi skuad Manchester United.

Pada 2019, City menjadi kelab pertama yang merangkul kemenangan 'treble' bagi Liga Perdana, Piala FA dan Piala Liga pada musim yang sama.

City kini menjadi pasukan pertama dalam sejarah liga utama Inggeris yang memenangi empat kejuaraan berturut-turut, mengatasi pencapaian pasukan hebat Liverpool dan Manchester United dari era sebelumnya.

Minggu depan, kelab itu akan cuba melakar sejarah baharu, menjadi pasukan Inggeris pertama memenangi beregu domestik berturut-turut, menentang United di Wembley dalam perlawanan akhir Piala FA.

Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich, Guardiola, 53, mempunyai kontrak di Etihad sehingga akhir musim depan bagaimanapun masa depannya selepas itu masih tidak jelas.

“Realitinya saya lebih hampir untuk pergi daripada kekal. Ia lapan tahun, akan menjadi sembilan."

"Perasaan saya ialah saya mahu kekal pada musim depan. Kami berbincang dengan kelab. Kami ada masa untuk bercakap mengenai perancangan musim depan kerana saya perlu melihat pemain juga. Jika mereka mengikuti saya, mereka mengikuti kami, terdapat banyak sebab. Saya akan kekal dan kita akan berbincang dengan tenang untuk perancangan seterusnya,” kata Guardiola kepada Sky Sports.

Sementara itu, Guardiola berkata dia masih mempunyai ruang untuk mencapai sasaran lain bersama kelab, meski telah memenangi kejuaraan berulang kali.

"Apabila kami menang di Istanbul (dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara) saya berkata, 'Sudah selesai. Apa yang saya lakukan di sini? Sudah berakhir, tiada apa-apa lagi'."

"Tetapi saya mempunyai kontrak, saya masih di sini dan menikmati hasilnya. Beberapa saat, saya agak letih tetapi beberapa saat selepas itu saya suka."

"Saya tidak mengetahui apa bentuk motivasi untuk saya terapkan kepada pasukan kerana kadang kala, ia sukar untuk mencarinya apabila "semuanya sudah selesai"."

Dalam pada itu, dia turut memuji pesaing-pesaingnya seperti pengendali Arsenal, Mikel Arteta dan pelatih Liverpool, Jurgen Klopp yang memberi tentangan sengit kepada pasukannya.

"Kami bersaing dengan hebat sekali lagi dan akhirnya, dengan jurang kecil, kami memenanginya. Kami melakukan sesuatu yang menakjubkan.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM