fb fb fb fb fb

Final sebelah pagi jejas rentak Kok Leong buru emas

HANOI, 22 Mei - Harapan Lim Kok Leong melakar sejarah tersendiri merangkul emas kedua peribadinya di Sukan SEA ke-31 tidak kesampaian selepas tewas di final acara snuker perseorangan lelaki yang berlangsung di Gimnasium Ha Dong di sini hari ini.

Atlet negara berusia 27 tahun itu terpaksa akur dengan pingat perak selepas tewas 2-4 kepada legenda Thailand James Wattana. 

Pada saingan final berkenaan, Kok Leong yang memenangi acara perseorangan snuker 6-Red Selasa lepas (17 Mei), memulakan aksi dengan baik memenangi frame pertama 75-25 namun tunduk 34-88 di frame kedua.

Beliau kemudian bangkit merakam kemenangan 70-25 di frame ketiga sebelum pengalaman dimiliki Wattana menjadi pemisah apabila atlet profesional berusia 52 tahun itu konsisten mencatat tiga kemenangan berturut-turut 65-48, 83-33, 67-42 untuk mengesahkan kejayaan.

Pingat gangsa acara itu menjadi milik bersama Aung Phyo dari Myanmar dan seorang lagi wakil Thailand Passakorn Suwannawat.


(Aksi pemain snuker negara Lim Kok Leong ketika menentang Passakorn Suwanawa
dari Thailand pada separuh akhir perseorangan lelaki di Sukan SEA ke-31 di Hanoi pada Sabtu/FOTO BERNAMA)

Bercakap kepada pemberita selepas final itu, selain perasaan gementar berdepan Wattana, Kok Leong berkata aksi di sebelah pagi sedikit merencatkan rentak permainannya sehingga banyak melakukan kesilapan mudah.

“Dia (Wattana) memang bagus dengan pengalaman 30 tahun sebagai pemain profesional, saya pun main hari ini dengan rasa gementar, banyak kesilapan saya buat terutama di frame empat.

“Mood saya pun tidak bagus sebab kena bangun awal, 6.30 pagi sudah bangun, kalau sebelum ini main petang atau malam, jadi sebab itu permainan tidak begitu bagus,” katanya.

Bagaimanapun, Kok Leong tetap gembira dengan pencapaian membawa pulang satu emas dan perak sekali gus berharap mampu mengekalkan kecemerlangan tersebut pada edisi seterusnya.

Sebagai rekod, Kok Leong berjaya memenangi emas pada edisi 2019 di Filipina ketika bergandingan dengan Moh Keen Hoo dalam acara beregu 6-Red snuker lelaki. - BERNAMA

Media Baharu