fb fb fb fb fb

Filipina benam Malaysia 4-0 di Kejohanan AFF Wanita 2022

(FOTO FB FAM)

KUALA LUMPUR, 8 Julai - Skuad bola sepak wanita negara tumpas 0-4 kepada Filipina dalam Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 bagi aksi ketiga kumpulan A di Manila, malam ini.

Beraksi di Stadium Memorial Rizal, skuad negara banyak diasak sebelum tuan rumah memecah kebuntuan menerusi jaringan luar kotak penalti Sara Eggesvik pada minit ke-32.

Tersentak dengan itu, Malayan Tigress berusaha melancarkan serangan balas, namun jentera tengah lawan sukar untuk ditembusi sebelum Filipina menambah jaringan pada minit ke-43 menerusi Katrina Guillou.

Pasukan Malaysia yang dibimbing Jacob Joseph terus ketinggalan selepas tiga minit babak kedua bermula apabila Quinley Quezada menanduk hantaran daripada Sara bagi jaringan ketiga Filipina.

Penguasaan bola pasukan Filipina membolehkan Anicka Castaneda menambah derita skuad negara dengan jaringan gol keempat pada minit ke-72.


(Kedudukan terkini kumpulan A Kejohanan AFF Wanita 2022 selepas tiga perlawanan/ Foto FB FAM) 

Keputusan tersebut merupakan kekalahan pertama Malaysia yang mencatat seri dalam dua perlawanan sebelum ini ketika menentang Singapura dan Indonesia.

Malaysia akan meneruskan saingan kumpulan bertemu Thailand pada Ahad ini dan skuad B-23 Australia pada 12 Julai dengan misi wajib menang bagi merebut tempat dua pasukan teratas untuk mara ke pusingan kalah mati.

Pada edisi 2019, yang merupakan kali terakhir pertandingan itu dianjurkan, Malaysia gagal mara ke pusingan kalah mati selepas menamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga dengan mengumpul dua kemenangan daripada keseluruhan empat perlawanan.

Pencapaian terbaik pasukan wanita negara di Kejohanan AFF adalah pada edisi 2007 yang menyaksikan Malaysia mara sehingga ke peringkat separuh akhir. -BERNAMA

Media Baharu