PUTRAJAYA, 9 Oktober - Pencapaian sukan elektronik (e-sukan) negara dalam konteks pembangunannya tidak setanding dengan peruntukan mencecah RM60 juta yang telah diberikan kerajaan, kata Setiausaha Agung Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) Mohamad Nazri Abdul Latiff.
Beliau berkata dengan peruntukan bagi pembangunan e-sukan negara yang telah diberikan sejak 2019 itu, Malaysia sebenarnya mampu meraih pencapaian serta pengiktirafan lebih tinggi pada peringkat antarabangsa.
“Nak kata kecewa (pencapaian) pun kita bawa balik tiga emas di Kejohanan E-Sukan Komanwel 2022 di Birmingham (Ogos lepas), (tetapi) atas usaha kita juga.
“Tetapi bajet itu masih lagi jadi pertanyaan, dengan bajet yang telah diberikan saya gambarkan Malaysia sudah pun ada Arena E-Sukan yang kemegahannya boleh dikagumi di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Bernama.
Peruntukan RM60 juta bagi pembangunan e-sukan itu merangkumi RM15 juta yang diumumkan menerusi Bajet 2022 dan 2021, RM20 juta (Bajet 2020) dan RM10 juta pada pembentangan Bajet 2019.
Terbaru, pada pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat dua hari lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan RM13 juta, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima bagi pembangunan e-sukan berjumlah RM73 juta.
Mohamad Nazri berkata banyak penjimatan dari sudut penganjuran aktiviti dapat dilakukan jika kerajaan membangunkan arena atau stadium e-sukan sendiri kerana ketika ini mereka terpaksa menyewa yang memakan kos tinggi.
“Keduanya pembangunan e-sukan itu lebih mampan dan bergerak lebih lancar kerana kita sudah ada stadium (sendiri). Ramai akan berkunjung untuk melihat kemegahan yang dimiliki Malaysia,” katanya yang turut mengakui banyak saingan liga dapat dianjurkan menerusi belanjawan yang diterima saban tahun.
Sebagai rekod, pada Disember 2020 Esports Business Network (EBN) melancarkan bandar e-sukan pertama Malaysia dikenali sebagai EBN Esports City yang disasarkan sebagai destinasi acara antarabangsa, justeru memperkukuh industri e-sukan negara di peringkat tempatan, serantau dan global.
EBN Esports City bernilai RM4 juta itu yang terletak di tingkat atas pusat beli-belah Quill City Mall di Kuala Lumpur dengan keluasan 65,000 kaki persegi, direka sebagai lokasi ideal yang dilengkapi teknologi dan sistem sokongan tercanggih untuk menganjurkan kejohanan, acara dan konvensyen e-sukan bertaraf dunia.
Semalam, Presiden MESF Datuk Ananth S. Nathan menggesa semua pihak meneliti dan memperhalusi mengenai pengurusan peruntukan Bajet 2023 yang menyaksikan e-sukan menerima RM13 juta.
Beliau berkata MESF sebagai badan induk yang mengelola pembangunan e-sukan negara, tidak pernah menerima atau berpeluang menggunakan peruntukan belanjawan secara khusus yang telah diumumkan dalam pembentangan bajet pada tahun-tahun sebelum ini. - BERNAMA