fb fb fb fb fb

Chelsea 'tambat' Joao Felix

Penyerang Portugal, Joao Felix sah jadi milik Chelsea/Foto REUTERS

LONDON, 22 Ogos-Kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea mengesahkan penyerang Portugal Joao Felix telah menandatangani kontrak selama tujuh tahun bersama kelab berkenaan kata jurucakap kelab tersebut dalam satu kenyataan pada Rabu.

Butiran perjanjian tidak didedahkan oleh Chelsea, namun media Inggeris melaporkan perjanjian tersebut melibatkan sejumlah 46 juta Pounds dibelanjakan bagi membolehkan penyerang berusia 24 tahun itu ke Stamford Bridge.

Sebelum ini, Felix yang bermain bersama Chelsea secara pinjaman daripada kelab Atletico Madrid mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang enam bulan di Liga Perdana Inggeris musim lalu dan menjaringkan empat gol dalam 20 penampilan.

Felix kemudiannya menghabiskan baki permainan di Barcelona, menyaksikannya menjaringkan 10 gol dalam 44 perlawanan.

Sementara itu, Felix dalam satu kenyataan di laman sesawang kelab Chelsea menyatakan rasa keterujaannya dapat kembali bermain buat kelab utara London itu.

"Selepas berstatus pinjaman di Chelsea dan Barcelona, saya perlu pasukan yang tetap.

"Tiada tempat yang lebih baik daripada Chelsea.Saya melihatnya sebagai tempat berpotensi buat saya untuk menyinar", kata Felix.

Terdahulu, Felix memulakan karier di Benfica, sebelum ditandatangani oleh Atletico Madrid dengan rekod perpindahan termahal iaitu 126 juta Euro.

Bersama Atletico Madrid, Felix berjaya menjaringkan 34 gol dalam 134 penampilan dan berjaya membantu kelab menjuarai La Liga pada 2021.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD