BINTULU, 20 Julai- Bintulu sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran acara sukan bola sepak, muay thai dan sepak takraw bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi ), Datuk Hii Chang Kee berkata, lebih 700 atlet akan berkampung di Bintulu untuk acara tiga sukan tersebut.
Tambahnya lagi, venue ketiga-tiga acara tersebut sedang rancak dilaksanakan mengikut jadual dan hampir siap sepenuhnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau Stadium Bintulu pada petang tadi.
Ujarnya lagi , bagi sukan bola sepak yang berlangsung pada 12 hingga 16 Ogos nanti akan melibatkan kontinjen dari Melaka, Pulau Pinang dan Kedah manakala acara sepak takraw akan berlangsung di Stadium Muhibbah pada 14 hingga 23 Ogos yang mana menawarkan lapan pingat emas.
Sementara acara muay thai pula akan berlangsung pada 15 hingga 20 Ogos di Naim Street Mall Paragon dengan 18 pingat emas.