fb fb fb fb fb

BATC 2022: Pearly dedikasikan kemenangan untuk Thinaah


FOTO FACEBOOK BAM

SHAH ALAM, 15 Februari - “Saya bermain untuk dia (M.Thinaah).”

Itulah yang dikatakan pemain badminton beregu wanita negara Pearly Tan selepas beliau yang berpasangan sementara bersama Valeree Siow, memberikan mata kedua Malaysia pada perlawanan pertama Kumpulan Y, di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di sini hari ini.

Pasangan yang baru digandingkan hari ini itu, bermain dengan baik sehingga berjaya mengalahkan pasangan Rui Hirokami-Yuna Kato 24-22, 21-18, bagi menyamakan kedudukan 2-2, ketika Malaysia berhadapan juara bertahan Jepun, sebelum pasangan Anna Cheong-Teoh Mei Xing mengalahkan Hina Akechi-Riko Gunji 21-12,21-5 untuk menang 3-2.

Pearly akui yang beliau terkejut apabila mendapati nama Thinaah digugurkan sebaik senarai pemain dikeluarkan hari ini, pada hari pertama kejohanan yang berlangsung di Pusat Konvesyen Setia City.

Thinaah terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir hari ini, selepas diuji positif COVID-19 awal hari ini.

 “Dia ada ‘text’ saya sebelum perlawanan bermula, dia pun sedih (tidak dapat bermain). Mestilah terkejut Thinaah positif (COVID-19), tetapi kita perlu teruskan.

“Jurulatih pun cakap jangan fikir banyak, mesti berjuang untuk dapatkan satu mata untuk pasukan kita,” katanya kepada wartawan ketika ditemui selepas perlawnan menentang Rui-Yuna.

Mengenai permainan beliau Pearly, Valeree yang pernah berpasangan dengan pemain itu pada sesi latihan berkata adalah sesuatu yang normal untuk berlaku perubahan pada saat-saat akhir, dalam acara berpasukan.

FOTO FACEBOOK BAM

“Ia satu pengalaman yang bagus bermain bersama Pearly. Saya hanya perlu untuk lebih konsisten dan kurangkan kesilapan pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Pada perlawanan hari ini Malaysia bermula dengan kurang baik, selepas pemain perseorangan wanita utama negara S. Kisona (64 dunia) tewas 12-21, 16-21 kepada pemain nombor 72 dunia Natsuri Nidaira, sebelum Jepun mendahului 2-0 selepas pemain nombor 181 dunia Riko Gunji mengalahkan pemenang pingat perak Kejohanan Remaja Asia 2017 Eoon Qi Xuan, 21-17, 21-7.

Bagaimanapun Siti Nurshuhaini Azman, mencipta peluang Malaysia untuk kembali selepas semangat juang beliau berjaya mencuri mata pertama untuk Malaysia, dengan mengalahkan Hina Akechi 21-16, 22-20.

Sementara itu Mei Xing yang berpasangan bersama Anna berkata, kemenangan Siti Nurshuhaini dan pasangan Valeree-Pearly, serta kehadiran peminat Malaysia menaikkan semangatnya, untuk berjaya mendapatkan mata kemenangan Malaysia.

Siti Nurshuhaini pula berkata, beliau perlu memperbaiki permainan pertahanan beliau di gelanggang dan berjanji untuk bermain dengan lebih baik esok.

Pasukan wanita negara berpeluang untuk layak ke separuh akhir, jika berjaya mengalahkan India esok, manakala pasukan lelaki akan memulakan kempen mereka esok dalam perlawanan Kumpulan B, dengan kedua-dua perlawanan bermula jam 4 petang.

Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir dan secara automatik layak ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber, yang akan berlangsung di Bangkok pada Mei. - BERNAMA

Media Baharu