(Foto Hiasan)
PUTRAJAYA, 8 Oktober- Peruntukan RM12 juta bagi pembangunan sukan Orang Kurang Upaya (OKU) yang diumumkan dalam Bajet 2023 diharap dapat disalurkan sebaik mungkin kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), kata Presidennya Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.
Beliau berkata ini kerana terdapat 27 persatuan di bawah naungan MPM yang memerlukan dana tersebut bagi tujuan pembangunan bakat di peringkat akar umbi.
“Dalam Bajet 2022, peruntukan untuk sukan OKU adalah RM10 juta dan telus saya nyatakan, kami hanya dapat peruntukan antara 20 hingga 30 peratus sahaja. Saya harap duit itu dapat disalurkan kepada persatuan kami kerana kami membangunkan bakat dari akar umbi di peringkat sekolah mahupun komuniti.
“Dengan peruntukan tersebut, kita dapat menjalankan banyak program pembangunan bakat seterusnya mewujudkan pelapis atlet para,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Inspire OKU Aktif Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan peruntukan RM12 juta yang disediakan khusus untuk pembangunan sukan OKU bagi melahirkan atlet para bertaraf antarabangsa.
Megat D Shahriman berkata atlet para negara semakin menunjukkan prestasi memberangsangkan, justeru golongan itu tidak seharusnya dianaktirikan.
“Saya cakap bagi pihak 27 persatuan yang ada, kami telah menunjukkan prestasi yang baik. Atlet para telah membawa emas dan beri yang terbaik untuk negara. Tiada bezanya bagi orang biasa (atlet) dan OKU.
“Kalau boleh, sampailah (dana) untuk komuniti OKU,” katanya merujuk kepada pencapaian atlet para di Sukan Para ASEAN (APG) Ke-11 di Solo, Indonesia, sekitar Julai dan Ogos lepas.
Malaysia yang diwakili kira-kira 70 atlet mengakhiri APG dengan mengumpul 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa.
Dalam pada itu, Karnival Sukan Inspire OKU Aktif diadakan sempena Hari Sukan Negara 2022 bagi menggalakkan golongan OKU terlibat dalam aktiviti sukan dan kecergasan.
Pelbagai acara dan aktiviti dirancang bagi memeriahkan karnival tersebut seperti sukan tradisional, e-sukan, sukaneka dan pameran kerjaya.- BERNAMA
(Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin)