BUKIT JALIL, 21 Mei- Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun berjaya lolos halangan pertama dalam misi untuk mengulangi pencapaian mara ke final edisi tahun lalu selepas mengesahkan tiket ke pusingan kedua.
Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, di sini, pasangan ranking ke-20 dunia itu hanya memerlukan 36 minit untuk menundukkan beregu ke-57 dunia dari Taiwan, Chiang Chien Wei-Wu Hsuan Yi 22-20, 21-12.
Kemenangan itu sekaligus menyaksikan Wei Chong-Kai Wun melunaskan dendam ke atas lawan tersebut selepas tewas ketika pertemuan pertama mereka di pusingan pertama Terbuka Australia pada Ogos tahun lalu.
Juara Terbuka Taiwan 2023 itu akan bertemu rakan senegara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian dalam misi memburu slot ke suku akhir, Khamis ini.
Terdahulu gandingan Haikal Nazri - Hon Jian menewaskan satu lagi pasangan negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, 22-20, 21-19.
Ia sekaligus menyaksikan satu slot buat Malaysia untuk aksi di kelompok lapan terbaik terjamin.
Sementara, dalam satu lagi aksi beregu lelaki, pasangan muda negara, Arif Junaidi - Yap Roy King turut mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan pasangan dari China, Xie Hao Nan - Zeng Wei Han, 21-16, 21-12.
Perlawanan yang berlangsung selama 38 minit itu menyaksikan pasangan ranking ke-47 itu tidak menghadapi masalah untuk menundukkan pasangan ranking ke 64.
Arif - Yap Roy akan bertemu sama ada adik beradik dari perancis, Christo Popov - Toma Junior Popov atau pilihan keempat kejohanan, Lee Jhe Huei - Yang Po Hsuan dari Taipei pada pusingan seterusnya.
Dalam pada itu, aksi pusingan kelayakan menyaksikan beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Boon Xin Yuan berjaya mengesahkan tiket ke undian utama selepas menewaskan rakan senegara, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe 21-17, 20-22, 21-18.
Nasib berbeza buat tiga pemain perseorangan lelaki, Soong Joo Ven, Ong Zhen Yi dan Cheam June Wei apabila tersingkir di pusingan kelayakan selepas tewas di tangan lawan masing-masing.