fb fb fb fb fb

Atlet Sukma Terengganu diberi amaran keras elak terbabit isu doping

KUALA NERUS, 19 Julai- Atlet Sukan Malaysia SUKMA Terengganu yang bakal bertanding pada temasya itu, diingatkan supaya berhati-hati terhadap pengambilan ubat-ubatan atau makanan tambahan bagi mengelak terpalit isu doping.

Peringatan itu susulan amaran keras oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia yang melarang penyertaan negeri yang terlibat dengan penggunaan bahan terlarang dalam Sukma edisi seterusnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkara itu sememangnya perlu diberi perhatian dan diambil berat oleh para atlet serta jurulatih bagi memastikan tidak berlaku masalah kelak.

"Bukan sahaja atlet angkat berat, malah semua disiplin sukan supaya betul-betul berhati-hati dalam isu ini ketika mengambil apa juga makanan termasuk juga makanan tambahan yang disyorkan oleh sesiapa pun.

"Kes yang pernah kita hadapi sebelum ini pun disebabkan pengambilan makanan tambahan yang disyorkan oleh jurulatih sendiri, ia boleh menyebabkan kerugian kepada atlet dan negeri," kata Wan Sukairi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Himpunan Kontinjen Sukma Terengganu Menjelang 60 hari Sukma ke-XX 2022 di Kuala Nerus.

Terengganu akan menghantar kira-kira 600 atlet untuk menyertai 29 jenis sukan di temasya dwitahunan itu yang dijadualkan pada 16 hingga 24 September ini di Kuala Lumpur.

Pihaknya menyasarkan 70 pingat emas pada Sukma kali ini dengan sandaran utama emas pada sukan berbasikal, kanu dan pelayaran.

 


(Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah)

Media Baharu