fb fb fb fb fb

80 pasukan sedia berentap merebut PIala Cabaran Milo 2022

KUALA LUMPUR, 12 Mei - Sebanyak 80 pasukan dibarisi pemain bola sepak remaja negara akan berentap dalam kejohanan sulung bagi merebut Piala Cabaran MILO 2022 yang akan berlangsung di Arena JSA, hab Sukan dan F&B serba lengkap bernilai jutaan ringgit di Setia Alam, bermula 14 hingga 16 Mei depan.

Pengurus Pemasaran Sukan MILO Kerwin Lim dalam satu kenyataan hari ini berkata objektif kejohanan itu adalah untuk memperkasa dan memberi tenaga kepada pemain remaja bagi mencapai kejayaan pada peringkat awal kehidupan mereka serta memberi inspirasi kepada ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka aktif dalam sukan sejak dari muda.

“Saya tidak sabar untuk melihat 80 pasukan dibarisi bakat muda dari sekolah rendah dan menengah untuk mempamerkan kemahiran mereka dalam kejohanan ini. Ini akan menjadi peluang yang baik untuk mereka beraksi dalam kejohanan bola sepak yang kompetitif dan berasaskan pembangunan.

“MILO, bersama-sama rakan sukan utama kami sentiasa memainkan peranan utama dalam pembangunan sukan di Malaysia. Kami gembira dapat bekerjasama dengan Akademi Sukan JSA dalam penganjuran sulung Piala Cabaran MILO,” katanya.

(Sebanyak 80 pasukan dibarisi pemain bola sepak remaja negara akan berentap dalam kejohanan sulung bagi merebut Piala Cabaran MILO 2022/GOOGLE) 

Bulan lepas, MILO mengumumkan kerjasamanya dengan Akademi Sukan JSA untuk membangunkan program bola sepak di peringkat akar umbi dengan menganjurkan pertandingan Liga Juara-Juara Remaja MILO dan Piala Cabaran MILO.

Sementara itu, Mohd Afiq Tahir Pengurus Pasukan TSS Selangor, satu daripada 80 pasukan terbaik yang akan bertanding dalam kejohanan itu berkata pasukannya bersemangat untuk merangkul Piala Cabaran MILO 2022.

“Pasukan kami telah berlatih bersungguh-sungguh sejak dua bulan lepas untuk pertandingan ini. Melalui sokongan pemain remaja yang berbakat ini, kami berazam untuk membawa pulang Piala Cabaran MILO 2022 sulung ini,” katanya.

Kejohanan itu membabitkan lima kumpulan umur iaitu di bawah 8 tahun, bawah-10, bawah-12, bawah-14 dan bawah-17. Sebanyak 12 pasukan terbaik dari setiap kategori layak mara ke Liga Juara-Juara Remaja MILO.B - BERNAMA

Media Baharu