
LOS ANGELES, 15 Januari– Perenang Amerika Syarikat (AS), Katie Ledecky mencatat masa kedua terpantas dalam sejarah acara 1,500 meter gaya bebas wanita selepas meraih kemenangan pada pembukaan Siri Renang Pro Amerika Syarikat di Austin, Texas, hari ini.
Pemenang sembilan kali pingat emas Olimpik itu menamatkan perlumbaan dengan catatan 15 minit 23.21 saat, meninggalkan pencabar terdekat, Brinkleigh Hansen yang berusia 16 tahun, lebih satu minit di belakang dengan masa 16:31.31, manakala Becca Mann sekadar di tempat ketiga dengan 16:35.09.
Walaupun gagal memecahkan rekod dunia miliknya sendiri, 15:20.48 yang dicipta pada 2018, Ledecky memperbaiki masa kedua terpantas sepanjang zaman, mengatasi rekod 15:24.51 yang dilakukannya pada Siri Renang Pro di Fort Lauderdale, Florida, April lalu.
Kemenangan itu meneruskan prestasi cemerlang Ledecky selepas merangkul gelaran juara dunia keenam acara berkenaan pada Kejohanan Dunia tahun lalu di Singapura.
Ledecky juga merupakan perenang wanita pertama yang memenangi pingat emas Olimpik acara 1,500 meter gaya bebas, selepas acara itu diperkenalkan pada temasya Tokyo 2021, sebelum mempertahankan kejuaraan di Paris 2024.
Ledecky, 28 tahun yang memenangi emas Olimpik pertamanya dalam acara 800 meter gaya bebas pada Sukan Olimpik London 2012, terus menunjukkan prestasi konsisten menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Beliau kekal sebagai satu-satunya perenang wanita yang berjaya mencatat masa di bawah 15 minit 30 saat bagi acara 1,500 meter gaya bebas sebanyak 10 kali, selain memiliki 12 catatan terpantas sepanjang zaman dan 24 daripada 25 masa terbaik dunia. -AFP