AMD B-17 dituntut buktikan kemampuan sebenar

Ketua jurulatih AMD B-17, Noor Zaidi Rohmat / FAM

KUALA LUMPUR, 19 Januari – Pemain skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 17 (B-17) dituntut membuktikan kemampuan sebenar selepas melalui latihan intensif selama empat tahun di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemain AMD B-17 perlu tunjukkan kemampuan sebenar selepas latihan intensif empat tahun.
  • Jurulatih mahu peningkatan intensiti, kelajuan permainan dan standard tinggi dalam setiap perlawanan.
  • FAM ambil alih aspek teknikal NFDP; 198 pelatih umur 13-17 mulakan sesi latihan 2026.

Ketua jurulatih, Noor Zaidi Rohmat menegaskan setiap pemain perlu keluar dari akademi dengan tahap kemahiran yang jelas, bukan sekadar pengalaman latihan semata-mata.

Beliau turut menekankan peningkatan intensiti dan kelajuan permainan menjelang penyertaan skuad AMD B-17 dalam Piala Presiden B-20 bermula musim ini.

“Mereka berpengalaman dalam kelayakan Bawah-16 sebelum ini. dan saya mahu mereka meningkat serta terjemahkan pengalaman itu dalam Piala Presiden.

“Kami mahukan standard tinggi dalam setiap perlawanan dan hasil itu akan datang secara semula jadi.

“Setiap pemain perlu tahu tugas dan peranan masing-masing,” katanya dalam hantaran video di laman Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sementara itu, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kini memasuki fasa baharu apabila FAM mengambil alih sepenuhnya aspek teknikal program berkenaan.

Seramai 198 pelatih dari peringkat umur 13 hingga 17 tahun telah memulakan sesi latihan bagi musim 2026 dengan latihan pertama di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang pada Isnin, 12 Januari lalu.