
SEPANG, 19 Januari – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas tiga kotak bunga ros segar seberat 46 kilogram yang diimport tanpa permit sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
- AKPS merampas tiga kotak bunga ros segar selepas pemeriksaan konsainan di FCZ Kargo KLIA.
- Bunga itu diimport dari India tanpa Permit Import MAQIS yang sah.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
- Barangan ditahan untuk tindakan lanjut; AKPS akan perketat kawalan bagi lindungi biosekuriti negara.
Rampasan itu dibuat menerusi Bahagian Pemeriksaan Barangan KLIA hasil pemeriksaan ke atas satu konsainan di FCZ Kargo KLIA kira-kira pukul 1 petang.
“Hasil semakan mendapati bunga ros segar berkenaan diimport dari India tanpa Permit Import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang sah.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan sebanyak tiga kotak bunga ros segar dengan berat keseluruhan 46 kilogram,” menurut kenyataan itu di Facebook hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport komoditi pertanian tanpa Permit Import MAQIS yang sah.
AKPS memaklumkan semua barangan rampasan telah ditahan untuk tindakan lanjut mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“AKPS akan terus memperketat kawalan kemasukan barangan pertanian bagi melindungi keselamatan biosekuriti negara,” tambah kenyataan itu.