Iklan pelaburan perangkap doktor, rugi lebih RM880,000

Gambar fail

KUANTAN, 12 Januari – Seorang doktor mengalami kerugian melebihi RM880,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan menerusi laman sosial Facebook.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dijanjikan pulangan tinggi melalui skim TNB Aura yang diiklankan di Facebook dan diuruskan melalui kumpulan WhatsApp.
  • Beliau membuat 21 transaksi ke lima akaun berbeza menggunakan pinjaman peribadi, ASB dan Tabung Haji, kemudian rugi besar.
  • Hanya menerima satu pembayaran kecil; kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa lelaki berusia 44 tahun itu pada mulanya berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan pelaburan dikenali sebagai Aura Wealth Navigation.

Menurutnya, mangsa kemudian ditawarkan satu skim pelaburan dinamakan TNB Aura yang menjanjikan pulangan antara 18 hingga 22 peratus, selain keuntungan sehingga 500 peratus sekiranya sasaran pelaburan bagi 24 jenis saham berjaya dicapai.

“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa telah membuat sebanyak 21 transaksi pindahan wang ke dalam lima akaun bank berbeza yang didaftarkan atas nama beberapa syarikat berkaitan.

“Transaksi itu dilakukan dalam tempoh 8 Nov 2025 hingga 7 Jan lalu menggunakan wang daripada pinjaman peribadi, pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta Tabung Haji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, mangsa hanya menerima keuntungan sekali sahaja pada peringkat awal pelaburan berjumlah RM1,000 sebelum gagal memperoleh sebarang pulangan lain seperti yang dijanjikan.

“Menyedari telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.