Harga emas berpotensi cecah RM700 segram – Presiden MGA

Gambar Fail

PETALING JAYA, 12 Januari Prospek harga emas kekal positif dengan momentum kenaikan dijangka berterusan sehingga tahun 2026 serta berpotensi mencecah sehingga RM700 segram.

Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Seri Louis Ng berkata trend tersebut didorong oleh ketidakstabilan geopolitik dan ekonomi global yang menjadikan emas sebagai aset lindung nilai utama dunia.

“Antara faktor utamanya ialah pembelian oleh bank pusat. Bank-bank pusat dunia membeli emas kerana ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, termasuk konflik Ukraine-Rusia, serta perkembangan geopolitik melibatkan kuasa besar dunia.”

“Keadaan dunia yang tidak aman dan penuh ketidaktentuan mendorong bank pusat meningkatkan pegangan emas. Apabila bank pusat membeli emas, harga akan meningkat dan ini turut mendorong orang ramai untuk turut membeli emas sebagai perlindungan nilai,” kata Datuk Seri Louis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Triple Diamond Recognition Ceremony 2024 dan 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

Tambah beliau, sentimen terhadap pelaburan emas juga kekal stabil dengan institusi kewangan utama dunia meletakkan sasaran harga emas sehingga AS$5,500 per auns, sekali gus menunjukkan potensi kenaikan sekitar 20 peratus berbanding paras semasa.

Mengulas mengenai hala tuju perniagaan, beliau yang juga Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold turut komited mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa, terutama di Indonesia, menerusi pembukaan enam cawangan baharu.

Syarikat itu juga menyasarkan pencapaian 10 juta pelanggan menjelang 2030, dengan jumlah pelanggan sedia ada mencecah 2.3 juta orang, setakat ini.