TikTok jalin usaha sama tamatkan ancaman larangan AS

Foto AFP

WASHINGTON, 23 Januari – TikTok mengumumkan penubuhan syarikat usaha sama milik majoriti warga Amerika Syarikat untuk mengendalikan perniagaannya di negara berkenaan, sekali gus membolehkannya mengelak daripada larangan berikutan pemilikan China.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penubuhan TikTok USDS Joint Venture LLC milik majoriti warga AS untuk terus beroperasi tanpa larangan.
  • Data pengguna AS disimpan di awan selamat Oracle dengan audit keselamatan pihak ketiga dan pematuhan piawaian persekutuan.
  • ByteDance kekal memegang 19.9 persen; lembaga tujuh ahli dipimpin mayoriti warga AS mengawal dasar keselamatan dan kandungan.

Penubuhan itu dikenali sebagai TikTok USDS Joint Venture LLC yang akan memberi perkhidmatan kepada lebih 200 juta pengguna dan 7.5 juta perniagaan.

Menurut syarikat tersebut, menerusi langkah terbabit, pihaknya akan melaksanakan langkah keselamatan ketat untuk perlindungan data, keselamatan algoritma dan pengawalan kandungan.

Struktur baharu itu adalah tindak balas terhadap undang-undang yang diluluskan bawah Presiden Joe Biden sebelum ini yang memaksa ByteDance milik China agar menjual operasi TikTok di AS atau menghadapi larangan di pasaran terbesarnya.

Trump menyambut baik perjanjian itu dan mengucapkan terima kasih kepada Presiden China, Xi Jinping, kerana meluluskannya.

“Saya sangat gembira kerana dapat membantu menyelamatkan TikTok!.

“Ia kini akan dimiliki oleh sekumpulan patriot dan pelabur hebat Amerika yang terbesar di dunia dan akan menjadi suara penting.”

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Xi dari China kerana bekerjasama dengan kami dan akhirnya meluluskan perjanjian ini,” kata Trump dalam hantaran di Truth Social.

ByteDance mengekalkan pegangan 19.9 peratus dalam usaha sama itu, mengekalkan pemilikan di bawah ambang 20 peratus yang ditetapkan oleh undang-undang.

Tiga pelabur, Silver Lake, Oracle dan dana pelaburan AI berpangkalan di Abu Dhabi iaitu MGX masing-masing memegang pegangan 15 peratus.

Pelabur lain termasuk Dell Family Office, sekutu Susquehanna International Group dan General Atlantic, serta beberapa firma pelaburan lain.

Usaha sama ini akan mengekalkan kuasa membuat keputusan mengenai dasar keselamatan dan kepercayaan serta pengawalan kandungan untuk pengguna AS, manakala entiti global TikTok akan menguruskan integrasi produk antarabangsa dan aktiviti komersial termasuk e-dagang dan pengiklanan.

Di bawah perjanjian ini, data pengguna AS akan disimpan dalam persekitaran awan selamat Oracle, dengan keselamatan siber diaudit oleh pakar pihak ketiga dan mematuhi piawaian persekutuan, kata TikTok.

Usaha sama ini akan dikendalikan oleh lembaga tujuh ahli, majoriti warga Amerika, termasuk CEO TikTok Shou Chew dan eksekutif dari firma pelaburan utama. – AFP