Iraq hantar 12 tan makanan ke Gaza

Tentera Udara Iraq membawa 12 tan makanan ke Gaza/ REUTERS

BAGHDAD, 12 Januari – Iraq menyediakan 12 tan bantuan makanan ke Gaza menaiki pesawat Tentera Udara Iraq di pangkalan tentera ‘Martyr Mohammed Alaa’ pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iraq menghantar 12 tan bantuan makanan ke Gaza menggunakan pesawat Tentera Udara Iraq ke Al-Arish sebagai hentian pertama.
  • Penghantaran ini merupakan siri pertama; Baghdad berjanji terus menjadi sumber sokongan dan bantuan kepada rakyat Gaza.
  • Walaupun akses penghantaran bertambah baik, IPC dan agensi kemanusiaan tetap menganggap situasi makanan masih kritikal di Gaza.

Brigadier Jeneral Tahsin al-Khafaji menerusi kenyataan memaklumkan, pesawat tentera berkenaan menuju ke Al-Arish, Mesir sebagai hentian pertama sebelum bantuan itu sampai ke destinasi.

“Ini merupakan penghantaran pertama daripada beberapa siri yang akan dihantar kepada rakyat kami, dan insya-Allah, kami akan sentiasa menjadi sumber sokongan dan bantuan kepada rakyat kami di Gaza,” menurut Brigadier Jeneral Tahsin al-Khafaji.

Pada 19 Disember lalu badan pemantau kebuluran global menyatakan tiada lagi isu berkenaan di Gaza selepas akses penghantaran makanan, kemanusiaan dan komersial bertambah baik susulan gencatan senjata.

Sementara itu penilaian terkini Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) dibuat empat bulan selepas laporan terdahulu yang menyatakan bahawa seramai 514,000 orang – hampir satu perempat penduduk Palestin di Genting Gaza – mengalami kebuluran.

IPC menegaskan situasi di wilayah tersebut masih kritikal. Agensi kemanusiaan melaporkan, lebih banyak bantuan masih diperlukan untuk masuk ke wilayah itu. Namun usaha berkenaan terus dihalang rejim Zionis Israel dengan beberapa barangan penting disekat daripada memasuki Gaza.

Israel terus menggunakan alasan kekurangan bekalan makanan ke wilayah itu berpunca daripada kegagalan pengangihan di Gaza.- REUTERS