400 kanak-kanak Gaza mengikuti sesi pembelajaran

Toulin Al-Hindi menyertai sesi pembelajaran di Sekolah Pendidikan Utara, Beit Lahiya/ REUTERS

BEIT LAHIYA, 12 Januari – Kira-kira 400 kanak-kanak mengikuti sesi pembelajaran di Gaza dalam kesejukan musim sejuk di atas lantai sebuah khemah yang sesak terganggu akibat bunyi tembakan dan letupan dari kawasan yang dikuasai rejim Zionis Israel, kurang 1,000 meter dari lokasi tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekitar 400 kanak-kanak belajar di sekolah sementara khemah biru di kawasan runtuhan Gaza meskipun bunyi tembakan dan letupan kerap kedengaran.
  • Pelajar duduk di lantai, berkongsi buku nota di atas peti kayu, dan berusaha meneruskan pembelajaran dalam kesejukan musim sejuk.
  • Guru mengajar langkah keselamatan seperti meniarap apabila terdengar tembakan; keselamatan dikatakan tidak selamat dan bergantung kepada Tuhan.
  • Gencatan senjata tidak menghentikan pendudukan dan tembakan; ramai penduduk tinggal berhimpit di khemah sementara selepas pemusnahan kawasan.

Kesemuanya memulakan sesi itu di Sekolah Pendidikan Utara, sebuah sekolah sementara yang didirikan menggunakan khemah plastik berwarna biru di kawasan runtuhan komuniti di sini dan terletak dalam jarak penglihatan ‘garisan kuning’ yang dikawal tentera Israel.

Dalam satu sesi pembelajaran baru-baru ini, lebih 10 murid perempuan duduk di atas lantai dalam dua barisan di sebuah khemah kecil, mengenakan baju sejuk dan jaket tebal bagi menahan kesejukan.

Buku nota diletakkan di atas beberapa peti kayu, sementara mereka ceria menyanyikan nombor ketika guru melukis bentuk pada papan hitam.

Tidak terkecuali seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, Toulin Al-Hindi yang mengikuti sesi pembelajaran tersebut.

“Walaupun kami tidak duduk di atas kerusi, syukur kami sudah mula bersekolah. Semasa perang, tiada sesi persekolahan dan kami berasa bosan,” kata Toulin.

Ibunya, Yasmine Al-Ajouri, berkata beliau sentiasa dilanda kebimbangan sebaik sahaja anaknya keluar ke sekolah sehingga pulang ke rumah.

“Saya berpesan supaya dia berhati-hati, berlindung di tepi dinding dan tidak berada terlalu lama di jalanan,” katanya.

Sementara itu penyelia sekolah, Yara Abu Ghalweh memaklumkan bunyi tembakan dapat didengar hampir setiap hari.

“Kami mengajar kanak-kanak supaya segera meniarap apabila mendengar tembakan. Keadaan ini tidak selamat dan keselamatan bergantung kepada Tuhan, namun itu sahaja yang mampu kami lakukan,” kata Yara Abu Ghalweh.

Menerusi gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober lalu, Israel terus menduduki lebih separuh wilayah Gaza dan menghalang orang awam daripada memasuki kawasan lain. Hampir keseluruhan bangunan di kawasan yang dikawal Israel musnah, manakala penduduk di kawasan tersebut diusir keluar.

Situasi berkenaan menyebabkan hampir keseluruhan penduduk Gaza yang melebihi dua juta terpaksa berhimpit di kira-kira satu pertiga daripada wilayah tersebut. Kebanyakannya tinggal di khemah sementara dan bangunan rosak.

Walaupun pertempuran besar telah dihentikan, Israel dilaporkan sengaja melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin dengan alasan “menghampiri garisan kuning.”

Lebih 440 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak gencatan senjata pada Oktober lalu berkuat kuasa. Penduduk Palestin mendakwa tentera Israel mengalihkan penanda konkrit kuning ke arah barat, sekali gus menceroboh kawasan baharu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan kejam rejim Zionis Israel ke atas wilayah itu telah mengorbankan lebih 71,000 nyawa termasuk kanak-kanak dan wanita.- REUTERS