Top Glove jangka permintaan sarung tangan kekal stabil didorong aktiviti restocking global

Foto fail

KUALA LUMPUR, 18 Mac -Top Glove Corporation Bhd menjangkakan permintaan sarung tangan kekal stabil didorong oleh paras inventori pelanggan yang semakin rendah serta aktiviti restocking dalam rantaian bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekangan bekalan nitril lateks sekitar 30 peratus menyebabkan lonjakan harga bahan mentah, menambah tekanan kos kepada Top Glove.
  • Top Glove menaikkan harga jualan berperingkat AS$5 hingga AS$9 untuk menampung peningkatan kos pengeluaran.
  • Separuh pertama Tahun Kewangan 2026: volum jualan naik 36 peratus dan PATAMI RM69 juta, meningkat 92 peratus.

Menurut Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai, walaupun terdapat sedikit gangguan penghantaran sekitar satu hingga dua peratus, permintaan keseluruhan masih meningkat merentasi sektor termasuk hospital, industri makanan dan peruncitan.

Namun, syarikat berdepan tekanan ketara daripada kenaikan harga bahan mentah nitril susulan kekangan bekalan nitril lateks yang dianggarkan sekitar 30 peratus.

Harga nitril lateks dilaporkan melonjak hampir dua kali ganda daripada kira-kira AS$750 kepada sehingga AS$1,500 satu tan metrik, malah dalam beberapa kes mencecah sehingga AS$1,900.

Sehubungan itu, Top Glove telah mula melaksanakan pelarasan harga jualan secara berperingkat, dengan kenaikan sekitar AS$5 hingga AS$9 bagi menampung peningkatan kos pengeluaran.

Pengurusan syarikat menjelaskan, strategi tersebut adalah perlu bagi memastikan operasi kekal mampan, dengan penyesuaian harga dibuat selari dengan pergerakan kos bahan mentah.

Pada masa sama, syarikat terus bekerjasama rapat dengan pembekal dan pelanggan bagi mengurus cabaran semasa, sambil mengekalkan operasi pengeluaran pada tahap optimum.

Bagi Separuh Pertama Tahun kewangan 2026, Volum Jualan Kumpulan meningkat sebanyak 36 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan Untung Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) berjumlah RM69 juta, iaitu 92 peratus lebih tinggi berbanding Separuh
Pertama Tahun Kewangan 2025.