TM tamat perjanjian borong 5G dengan DNB, meterai kerjasama baharu bersama U Mobile

 

RINGKASAN BERITA AI
  • TM dan U Mobile akan memeterai perjanjian Rangkaian Teras 5G Pelbagai Operator untuk tingkatkan daya saing mudah alih.
  • Peralihan daripada sewaan borong 5G kepada model baru dirancang teliti untuk elak gangguan pengalaman pelanggan.
  • TM menghargai sumbangan DNB dan terus komited bekerjasama dalam memajukan ekosistem infrastruktur digital Malaysia.


KUALA LUMPUR, 25 Feb – Telekom Malaysia Bhd (TM) dan U Mobile bakal memeterai perjanjian Rangkaian Teras 5G Pelbagai Operator (MOCN) baharu sebagai sebahagian daripada usaha syarikat untuk mengukuhkan daya saing mudah alih dan memajukan aspirasi penggabungannya.

TM menerusi pemakluman kepada Bursa Malaysia menyatakan, penamatan perjanjian sewaan borong 5G semasanya dengan Digital Nasional Bhd (DNB), adalah selaras terma perjanjian dan tertakluk kepada proses kawal selia.

“Perkhidmatan mudah alih adalah tonggak penting dalam usaha penggabungan TM, yang membolehkan perkhidmatan tetap, mudah alih, kandungan dan pintar bersepadu merentasi segmen pengguna, PKS dan perusahaan.

”Peralihan perkhidmatan 5G akan dirancang dengan teliti dan dilaksanakan secara lancar bagi memastikan tiada gangguan terhadap pengalaman pelanggan,” menurut kenyataan itu.

TM turut menghargai peranan perintis DNB dalam mempercepat pelaksanaan 5G di seluruh negara dan menegaskan komitmennya terhadap kerjasama industri bagi memajukan ekosistem infrastruktur digital Malaysia.