Tiger Global tewas kes cukai perjanjian Walmart-Flipkart

Mahkamah Agung India memutuskan keuntungan jualan Tiger Global daripada Flipkart tertakluk kepada cukai/foto REUTERS

NEW DELHI, 15 Januari – Mahkamah Agung India memutuskan bahawa penjualan pegangan bernilai AS$1.6 bilion oleh Tiger Global dalam syarikat e-dagang Flipkart kepada Walmart tertakluk kepada cukai, sekali gus memberi kemenangan kepada New Delhi dalam penghakiman bersejarah yang akan membentuk urus niaga rentas sempadan pada masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Agung India memutuskan keuntungan jualan Tiger Global daripada Flipkart tertakluk kepada cukai.
  • Hakim R. Mahadevan menyifatkan transaksi itu sebagai susunan pengelakan cukai yang tidak dibenarkan.
  • Keputusan ini menetapkan preseden untuk urus niaga rentas sempadan dan menegaskan kedaulatan cukai India.

Pertikaian ini menjadi tumpuan pelabur asing kerana melibatkan cara firma pelaburan Amerika Syarikat itu menggunakan perjanjian cukai India–Mauritius untuk menuntut pengecualian cukai, yang mendapat tentangan tegas pihak berkuasa India.

Hakim Mahkamah Agung, R. Mahadevan, menyatakan transaksi Tiger Global merupakan “susunan pengelakan cukai yang tidak dibenarkan”, dan oleh itu, syarikat itu tidak boleh menuntut pengecualian cukai ke atas keuntungan daripada penjualan pegangan berkenaan.

“Jumlah cukai dan penalti yang perlu dibayar bergantung kepada keuntungan sebenar transaksi, dan setakat ini masih belum jelas. Tiger Global boleh memohon semakan penghakiman oleh Mahkamah Agung, tetapi permohonan sedemikian biasanya jarang berjaya,” jelas R. Mahadevan.

Sementara itu, peguam percukaian di Mahkamah Agung, Tarun Jain, mengangap penghakiman ini sebagai titik perubahan dalam sistem percukaian India.

“Keputusan ini meletakkan tanggungjawab ke atas pembayar cukai untuk memastikan transaksi dilakukan secara sah dan tidak bertujuan mengelak cukai,” katanya.

Tiger Global sebelum ini mendakwa keuntungan daripada pegangan 17 peratus Flipkart itu dikecualikan daripada cukai di bawah perjanjian India-Mauritius. Pihak berkuasa India pula berkata unit Tiger Global di Mauritius hanya berfungsi sebagai perantara kepada syarikat induk Amerika, dan penggunaan perjanjian tersebut untuk mengelak cukai adalah tidak wajar.

Kes ini telah didengar Mahkamah Agung India sejak Januari 2025, selepas pihak berkuasa cukai menentang keputusan Mahkamah Tinggi Delhi yang memihak kepada Tiger Global sebelum ini. Mahkamah Tertinggi menekankan bahawa mengenakan cukai ke atas pendapatan yang terhasil di negara sendiri adalah hak kedaulatan negara. – REUTERS