
KUALA LUMPUR, 11 Februari – Bank Negara Malaysia (BNM) telah menerima tiga inisiatif bagi menguji aplikasi sebenar melibatkan stablecoin ringgit dan deposit token bawah Hab Inovasi Aset Digital (DAIH).
- BNM lulus tiga inisiatif untuk uji aplikasi stablecoin ringgit dan deposit bertoken dalam Hab Inovasi Aset Digital.
- Tumpuan pada pembayaran borong untuk transaksi domestik dan rentas sempadan, termasuk penyelesaian menerusi aset ditokenkan.
- Standard Chartered dan Capital A terlibat untuk penyelesaian perniagaan ke perniagaan; Maybank dan CIMB untuk deposit bertoken.
- Ujian dalam persekitaran terkawal untuk nilai kestabilan monetari, penilaian Syariah dan panduan dasar menjelang akhir tahun.
Bank pusat dalam kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada penggunaan pembayaran borong bagi transaksi domestik dan rentas sempadan, termasuk
membolehkan penyelesaian menerusi aset yang ditokenkan.
Berdasarkan maklumat di portal khas hab itu, Standard Chartered Bank Malaysia Berhad and Capital A Berhad tersenarai bagi inisiatif stablecoin Ringgit untuk penyelesaian perniagaan ke perniagaan.
Manakala, dua lagi bank tempatan iaitu Maybank dan CIMB pula terlibat dengan inisiatif deposit bertoken bagi pembayaran. Kesemua inisiatif akan dilaksanakan dalam persekitaran terkawal dengan kerjasama rakan ekosistem, termasuk pelanggan korporat institusi kewangan serta badan pengawal selia lain. Kes penggunaan tertentu juga akan melibatkan penelitian daripada aspek Syariah.
”Ujian yang dijalankan akan membolehkan BNM menilai kesan terhadap kestabilan monetari dan kewangan serta menyumbang kepada hala tuju dasar BNM dalam bidang ini.
”Melaluinya juga, BNM berhasrat untuk memberikan penjelasan yang lebih jelas mengenai penggunaan stablecoin ringgit dan deposit bertoken menjelang akhir tahun ini,” menurut kenyataan itu.
Usaha itu juga berpotensi menjadi pemangkin kepada integrasi pada masa hadapan dengan inisiatif sedia ada oleh BNM. Sejak pelancaran hab itu pada Jun 2025, BNM telah mengadakan libat urus dengan lebih 30 peserta industri antarabangsa dan tempatan daripada sektor perbankan dan bukan perbankan.