Teamstar mula disenaraikan di Pasaran Ace Bursa Malaysia, 26 sen sesaham

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Februari –TeamStar Bhd memulakan dagangan sulungnya di Pasaran ACE, Bursa Malaysia pada harga 26 sen sesaham kekal tidak berubah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO), dengan 16.70 juta saham diniagakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • TeamStar mula berdagang di Pasaran ACE pada harga 26 sen sesaham, dengan 16.7 juta saham diniagakan.
  • Hasil penyenaraian akan digunakan untuk pengembangan rangkaian runcit dan menaiktaraf bilik pameran.
  • Sasaran pembukaan 10 cawangan baharu, tiga hingga empat cawangan dijangka bermula 2026.
  • IPO berjaya meraih RM34.32 juta; RM23.2 juta diperuntukkan untuk cawangan dan gudang baharu.

Lebih 16.7 juta saham peruncit dan pengedar kelengkapan perabot serta perkakasan rumah itu didagangkan, sejurus urus niaga dibuka.

Ketua Pegawai Kewangan Tan Jian Wei berkata, hasil daripada penyenaraian itu akan dibelanjakan untuk pelan pengembangan rangkaian runcitnya di beberapa negeri.

”Kami menyasarkan pembukaan 10 cawangan runcit baharu, ketika ini 29 kami telah mempunyai 29 cawangan.

”Selain itu, kami juga merancang untuk menaiktaraf cawangan sedia ada dengan menambah bilik pameran,” jelasnya pada sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia.

Mengulas lanjut, penambahan tiga hingga empat cawangan baharu itu dijangka bermula pada 2026, dengan tumpuan di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kedah.

IPO syarikat itu berjaya meraih dana berjumlah RM34.32.

TeamStar memperuntukkan RM23.2 juta bagi pembukaan cawangan dan gudang baharu, manakala selebihnya akan digunakan untuk modal kerja, pembayaran balik sebahagian pinjaman bank serta perbelanjaan penyenaraian.