Tawaran pengambilalihan Sunway terhadap IJM ditutup 6 April

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 3 Februari – Tawaran pengambilalihan sepenuhnya 3.51 bilion saham IJM Corp Bhd oleh Sunway Bhd dijangka ditutup pada 6 April 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tawaran pengambilalihan 3.51 bilion saham IJM oleh Sunway dijangka ditutup pada 6 April 2026.
  • Pemegang saham IJM diberi masa sehingga 5 petang tarikh tutup untuk mempertimbangkan tawaran tersebut.
  • Fortuna Gembira Enterpris dinamakan sebagai penerima saham tawaran bagi cadangan pengambilalihan.
  • Tawaran bersyarat pada RM3.15 sesaham melibatkan kira-kira RM11 bilion, dibayar tunai dan melalui penerbitan saham baru Sunway.

Menerusi pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, pemegang saham IJM yang berminat mempunyai masa untuk mempertimbangkan tawaran tersebut bermula hari ini sehingga pukul 5 petang pada tarikh akhir itu.

Pada masa sama, syarikat konglomerat itu turut menamakan anak syarikat milik penuh tidak langsung, Fortuna Gembira Enterpris, sebagai penerima saham tawaran bagi cadangan pengambilalihan tersebut.

”Tawaran ini tertakluk kepada penerimaan sah daripada pemegang saham sebelum atau pada tarikh tutup, yang menghasilkan pemilikan melebihi 50 peratus daripada jumlah saham yang mempunyai hak mengundi dalam IJM,” menurut kumpulan itu.

Pada 12 Januari lalu, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh keseluruhan 3.51 bilion saham IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham.

“Dengan andaian semua pemegang saham menerima tawaran sepenuhnya dan tiada penyesuaian dibuat terhadap harga tawaran, jumlah pertimbangan bagi tawaran cadangan ini adalah kira-kira RM11 bilion, yang akan dilunaskan melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu Sunway,” menurut kenyataan Sunway Bhd sebelum ini.

Tawaran cadangan itu dijangka akan diselesaikan menjelang suku ketiga 2026.