Ringgit dibuka tinggi berbanding kumpulan mata wang utama, tidak berubah berbanding dolar AS

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama tetapi tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong oleh data ekonomi domestik yang berdaya tahan di tengah ketegangan geopolitik yang meningkat serta isyarat global yang bercampur-campur.

RINGKASAN BERITA AI
  • IPP meningkat 5.9% tahun ke tahun pada Januari 2026, dipacu oleh sektor pembuatan.
  • Ahli ekonomi kata ekonomi kekal berdaya tahan tetapi momentum terancam oleh ketegangan perang di Iran dan tekanan harga minyak.
  • Pasaran global tidak menentu: harga minyak bergegar sementara Indeks Dolar susut dan emas kekal stabil.
  • Ringgit mengukuh berbanding yen, pound dan euro, diniagakan bercampur-campur dengan mata wang ASEAN; dijangka bergerak mendatar.

Pada 8.00 pagi, mata wang tempatan itu tidak berubah pada 3.9200/9355 berbanding dolar AS 3.9200/9260 ketika ditutup pada Selasa.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun pada Januari 2026, didorong terutamanya oleh prestasi lebih kukuh dalam sektor pembuatan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data ekonomi terdahulu mengesahkan bahawa aktiviti ekonomi kekal berdaya tahan.

“Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sejauh mana momentum tersebut dapat diteruskan dalam bulan-bulan selepas kejutan daripada perang di Iran.

“Sesetengah negara kini berdepan harga minyak yang tinggi apabila kebimbangan terhadap tekanan inflasi semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ringgit dijangka terus bergerak mendatar berbanding dolar AS hari ini, berkemungkinan dalam lingkungan RM3.9000 hingga RM3.9500.

Sementara itu, situasi di Asia Barat terus menjadi tumpuan pasaran.

“Isyarat bercanggah daripada pentadbiran Trump telah menyebabkan pergerakan tidak menentu dalam harga minyak mentah Brent, yang mencecah setinggi US$94.8 setong sebelum kembali stabil sekitar US$87.80 setong.

“Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.35 peratus kepada 98.826 mata manakala harga emas semerta berlegar sekitar US$5,192.74 setiap auns,” katanya.

Beliau berkata data ekonomi menunjukkan eksport China melonjak 39.6 peratus pada Februari selepas berkembang pada kadar 10 peratus pada bulan sebelumnya, manakala pertumbuhan eksport ke AS kembali positif pada 9.7 peratus selepas kekal dalam penguncupan sejak April tahun lepas.

Dalam pada itu, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Jepun bagi suku keempat 2025 mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan pada 1.3 peratus selepas menguncup 2.3 peratus pada suku sebelumnya.

Pada pembukaan dagangan, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4796/4896 daripada 2.4859/4899 ketika ditutup pada Selasa, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2606/2814 daripada 5.2744/2824 serta tinggi berbanding euro pada 4.5519/5699 daripada 4.5668/5738.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0784/0910 daripada 3.0806/0855 dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.4055/4659 daripada 12.3941/4205 sebelumnya.

Ringgit mendatar berbanding rupiah Indonesia pada 232.4/233.4 daripada 232.4/232.9 dan kekal mendatar berbanding peso Filipina pada paras 6.65/6.68 daripada 6.65/6.67 pada Selasa. -BERNAMA