Ringgit dibuka rendah sedikit susulan pertumbuhan KDNK AS sokong Dolar

Ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama

KUALA LUMPUR, 26 Jun -Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat susulan data ekonomi AS yang lebih kukuh daripada jangkaan mengukuhkan mata wang negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembukaan semula Selat Hormuz meningkatkan selera risiko pelabur, sekali gus mengehadkan penyusutan ringgit.
  • AS lapor KDNK suku pertama melebihi jangkaan dan PCE Mei sejajar jangkaan, menjejaskan sentimen pasaran mata wang.
  • Indeks Dolar AS susut selepas pengumuman PCE, mencerminkan perbelanjaan pengguna AS yang masih lemah.
  • Ringgit turun berbanding pound, euro dan yen; hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura, rupiah dan peso, tetapi lemah berbanding baht.

Bagaimanapun, pembukaan semula Selat Hormuz meningkatkan selera risiko dalam kalangan pelabur, sekali gus mengehadkan penyusutan ringgit.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu susut kepada 4.1170/1270 berbanding dolar AS daripada 4.1160/1200 ketika ditutup semalam.

AS melaporkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama sebanyak 2.1 peratus, mengatasi jangkaan konsensus sebanyak 1.6 peratus, manakala kadar inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) bagi Mei mencatat 4.1 peratus, sejajar dengan jangkaan pasaran.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.18 peratus kepada 101.431 mata selepas data PCE diumumkan, mencerminkan pertumbuhan perbelanjaan pengguna di AS masih lemah.

Justeru itu, pengukuhan dolar AS dijangka sukar dikekalkan, terutama dalam keadaan harga minyak mentah yang lebih rendah susulan tempoh 60 hari yang dipersetujui bagi rundingan perjanjian damai antara AS dan Iran, katanya.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4295/4427 daripada 5.4261/4314 ketika ditutup semalam, turun berbanding euro kepada 4.6777/6891 daripada 4.6762/6807 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5445/5508 daripada 2.5437/5464 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu pula diniagakan hampir tidak berubah berbanding mata wang serantau.

Ringgit tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.1742/1824 daripada 3.1742/1775 ketika ditutup semalam, kekal berbanding rupiah Indonesia pada 229.4/230.1 daripada 229.4/229.7 dan mendatar berbanding peso Filipina pada 6.71/6.73 daripada 6.71/6.72 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding baht Thailand kepada 12.3245/3618 daripada 12.3370/3538 sebelum ini. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.