
KUALA LUMPUR, 1 Mac – Penganjuran program promosi dan acara kebudayaan secara berterusan membantu mengekalkan minat pelancong ke Malaysia, termasuk sepanjang bulan Ramadan.
- Iftar beramai-ramai mempromosi warisan budaya Islam sebagai produk pelancongan sepanjang Ramadan.
- Program menyatupadukan komuniti, mengukuh ukhuwah dan memupuk toleransi antara kaum.
- Sambutan menggalakkan termasuk kehadiran pelancong luar, menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Acara dianjurkan oleh MOTAC, JKKN dan DBKL, berlangsung di Jalan Raja, Dataran Merdeka.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, antara inisiatif tersebut termasuk program iftar beramai-ramai yang bukan sahaja meraikan nilai kerohanian, malah mengangkat warisan budaya Islam sebagai produk pelancongan.
Menurut beliau, program seumpama itu turut berperanan sebagai ejen penyatuan komuniti dengan memperteguh ukhuwah serta memupuk toleransi antara kaum menerusi pelbagai pengisian aktiviti.
“Kita nampak kali ini sambutan amat menggalakkan, ramai pelancong luar turut bersama kita. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif bawah Tahun Melawat Malaysia 2026 yang kita kenali sebagai pelancongan budaya,” katanya.
“Kita juga mengetengahkan pelancongan budaya seperti yang dapat dilihat hari ini, selain pelbagai budaya lain termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya pada Program Iftar Ramadan 2026.
Program berkenaan dianjurkan oleh MOTAC melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Acara yang memasuki tahun ke-14 penganjurannya itu berlangsung di sepanjang Jalan Raja, Dataran Merdeka pada 28 Februari dan 1 Mac serta 14 hingga 15 Mac.
Penganjuran program tersebut bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selain mengetengahkan warisan budaya Islam sebagai sebahagian daripada produk pelancongan minat khas negara.