Prestasi pasaran modal, ringgit cerminkan keyakinan pelabur

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 9 Februari – Prestasi pasaran modal dan pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap prospek ekonomi Malaysia, sekali gus memberi isyarat bahawa aktiviti ekonomi pada suku pertama 2026 dijangka kekal berdaya tahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prestasi pasaran modal dan pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia.
  • Unjuran pertumbuhan suku pertama 2026 sekitar 4.4–4.5 peratus, dengan potensi melepasi ramalan disokong sentimen perniagaan.
  • Momentum positif dari suku keempat 2025, pasaran buruh kukuh dan perbelanjaan pengguna menyokong daya tahan ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini, ekonomi negara diunjur tumbuh antara 4.4 peratus hingga 4.5 peratus.

Malah jelasnya, tidak mustahil jika ekonomi negara mampu mengatasi angka ramalan itu, berdasarkan sentimen positif sektor perniagaan, selain kesinambungan momentum positif daripada suku keempat 2025.

”Setakat tahun ini, kita sudah melihat peningkatan Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang telah melepasi paras psikologi 1,700 mata, kemudian prestas ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) terus mengukuh, selain meningkat berbanding mata wang serantau lain seperti dolar Singapura.

”Angka-angka ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap situasi ekonomi Malaysia yang dijangka kekal sihat pada suku pertama,” katanya kepada RTM.

Bagi keseluruhan 2026, beliau mengunjurkan pertumbuhan ekonomi sekitar 4.0 peratus hingga 4.5 peratus.

Sementara itu katanya, pertumbuhan ekonomi bagi suku keempat 2025 dijangka tidak jauh berbeza daripada anggaran awal sekitar 5.7 peratus, disokong antaranya oleh pasaran buruh yang kekal kukuh dan perbelanjaan pengguna yang lebih baik.

Angka sebenar bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar untuk suku keempat dan tahun penuh 2025 dijadual akan diterbitkan pada Jumaat ini.