PNB salur RM68 juta pelaburan sosial, manfaat kepada lebih 760,000 rakyat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyalurkan RM68 juta bagi inisiatif tanggungjawab sosial korporat dan pelaburan sosial sepanjang tahun 2025 yang memberi manfaat kepada lebih 760,000 rakyat di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • PNB menyalurkan RM68 juta untuk inisiatif tanggungjawab sosial dan pelaburan sosial sepanjang 2025.
  • Program termasuk biasiswa, bantuan asnaf, pemerkasaan komuniti, keusahawanan wanita dan literasi kewangan Celik MADANI.
  • Tujuan usaha adalah membina kemerdekaan kewangan dan budaya menabung serta pengurusan kewangan berdisiplin sejak usia muda.
  • PNB kekal kukuh kewangan dengan agihan RM14.5 bilion, mengukuhkan kemampuan meneruskan komitmen pelaburan sosial.

Inisiatif tersebut merangkumi pelbagai bidang keutamaan termasuk biasiswa dan program pendidikan, bantuan asnaf, pemerkasaan komuniti, keusahawanan wanita serta program literasi kewangan seperti Celik MADANI di bawah kelolaan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Seri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda berkata, usaha berterusan itu bukan sekadar bantuan jangka pendek, sebaliknya bertujuan membina asas kemerdekaan kewangan dalam kalangan rakyat.

“Jika dahulu kemerdekaan itu bermaksud kebebasan daripada penjajahan, hari ini kita bercakap tentang satu lagi bentuk kemerdekaan, iaitu kemerdekaan kewangan,” katanya ketika berucap semasa Majlis Raikan Ramadan Bersama PNB, di Masjid Al-Sultan Abdullah, di sini, hari ini.

PNB turut merekodkan prestasi kewangan kukuh sepanjang tahun 2024 dengan agihan pendapatan dan bonus berjumlah RM14.5 bilion kepada pemegang unit.

Perkembangan itu dilihat mengukuhkan keupayaan syarikat untuk meneruskan komitmen pelaburan sosial secara konsisten.

Pendekatan menyalurkan sebahagian sumbangan terus ke akaun ASB mencerminkan usaha memupuk budaya menabung dan pengurusan kewangan berdisiplin sejak usia muda, selaras dengan matlamat memperkukuh kesejahteraan ekonomi rakyat merentas generasi.

Dalam Majlis Raikan Ramadan Bersama PNB tersebut, sebanyak 66 anak yatim sekitar Lembah Klang serta 50 pelajar program Celik MADANI menerima sumbangan RM250 merangkumi RM100 tunai, RM100 dikreditkan terus ke akaun Amanah Saham Bumiputera serta cenderamata.