
KUALA LUMPUR, 10 Februari– Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menerusi Malaysia Petroleum Management (MPM), menganugerahkan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bagi Kluster Permata yang terletak di perairan Sabah kepada Bridge Petroleum Ltd yang berpangkalan di London, sekali gus menandakan operasi pertama syarikat itu di Malaysia.
- Penganugerahan kontrak PSC menandakan kejayaan menutup tiga kluster DRO dan kemajuan satu lagi blok bawah MBR 2025.
- Kluster Permata sasar potensi kira-kira 10 juta tong setara minyak melalui pembangunan medan dasar laut dan tie-back subsea.
- Projek dijangka mula pengeluaran komersial seawal 2029, serta mewujudkan peluang pekerjaan dan menyokong ekonomi Sabah.
- PETRONAS dan Sabah Energy Corp tukar HoA untuk jaminan pasaran gas Kluster Mutiara menjelang suku pertama 2029.
PETRONAS dalam satu kenyataan memaklumkan, penganugerahan itu menandakan kejayaan penutup tiga kluster Peluang Sumber Ditemui (Discovered Resource Opportunities, DRO) serta kemajuan satu lagi blok penerokaan yang ditawarkan di bawah Pusingan Bidaan Malaysia 2025, (Malaysia Bid Round 2025, MBR 2025) yang dilancarkan awal tahun lalu.
Kluster Permata yang merangkumi medan South East Collins, Lokan, Axinit, Realgar dan Manikam yang dianugerahkan kepada Bridge Petroleum Ltd itu membawa kepakaran dalam pembangunan medan dasar laut (subsea) dan menyasarkan untuk membuka potensi kira-kira 10 juta tong setara minyak (MMboe).
Pengeluaran komersial disasarkan seawal tahun 2029, dengan perancangan untuk menghubungkan medan-medan tersebut ke kemudahan berhampiran melalui sistem sambungan dasar laut (subsea tie-back).
Projek ini juga dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, merancakkan ekonomi tempatan serta menyokong penyedia perkhidmatan di Sabah.
Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, inisiatif itu mencerminkan strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor tenaga melalui pelaburan berkualiti tinggi serta kerjasama erat dengan PETRONAS.
“Dengan peluang yang kini berkembang di seluruh negeri dari pantai barat hingga pantai timur, kami mengalu-alukan pelabur berwibawa untuk bekerjasama dalam memastikan manfaat yang mampan dan berkekalan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Melengkapkan penganugerahan PSC itu, PETRONAS dan Sabah Energy Corp Sdn Bhd turut bertukar Dokumen Persefahaman Prinsip (Heads of Agreement, HoA) bagi jaminan pasaran gas Kluster Mutiara, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama antara PETRONAS dan Sabah.
HoA tersebut menggariskan prinsip utama ke arah perjanjian jualan gas pada masa hadapan bagi menyokong pembangunan Kluster Mutiara menjelang suku pertama 2029.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam membuka potensi tenaga Malaysia melalui kerjasama strategik.
“Pembangunan ini menyumbang kepada pertumbuhan serantau, khususnya di Sabah, dengan mewujudkan peluang penyertaan merentas ekosistem tenaga tempatan,” katanya.
Kluster Mutiara yang dianugerahkan kepada Dialog Resources Sdn Bhd pada Jun 2025 merupakan pembangunan perintis di Pantai Timur Sabah dan dijangka memacu pengeluaran gas serta minyak pada masa hadapan selain merangsang aktiviti ekonomi.
PETRONAS, berpandukan Akta Pembangunan Petroleum 1974, terus mengurus sumber petroleum negara secara mampan.
MPM akan menyelia peluang penerokaan dan DRO yang akan datang menerusi Malaysia Bid Round 2026 yang dilancarkan pada 10 Februari.