Perluasan rangkaian kedai SARA sokong kelangsungan PMKS

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 19 Januari -Perluasan rangkaian peruncitan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merupakan pencapaian penting dalam memastikan peruntukan RM8 bilion untuk tahun ini berfungsi sebagai jaringan keselamatan bagi 8.1 juta penerima.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perluasan rangkaian SARA daripada 3,000 ke 10,000 premis menyokong peruncit PMKS dan memperkukuh jaringan keselamatan bagi penerima.
  • Peningkatan premis memberi akses tunai segera dan ekonomi digital melalui sistem pembayaran tanpa tunai berasaskan MyKad.
  • SAMENTA gesa pendaftaran lancar, sokongan teknikal untuk pemilik kurang mahir teknologi, dan pemadanan tuntutan bayaran balik cepat.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) dalam kenyataan memaklumkan, langkah perluasan daripada 3,000 kepada 10,000 premis itu sekali gus turut menyokong peruncit perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sementara itu, Presiden SAMENTA, Datuk William Ng berkata, dengan meningkatkan jumlah premis penyertaan, bantuan kerajaan akan menjadi mudah tunai segera bagi peruncit, seterusnya memberi akses kepada ekonomi digital melalui sistem pembayaran tanpa tunai berasaskan MyKad.

”Tahun 2026 merupakan tahun kelangsungan bagi kebanyakan PMKS ekoran peningkatan kos pematuhan dan operasi.

”Integrasi kedai-kedai kecil ke dalam program SARA menjadi penampan hasil yang sangat diperlukan dan apabila peruncit PMKS berkembang maju, seluruh rantaian bekalan termasuk pemborong tempatan dan penyedia logistik akan turut mendapat manfaat daripada kesan pengganda,” katanya dalam satu kenyataan.

SAMENTA turut menggesa agar proses pendaftaran bagi 7,000 premis tambahan tersebut berjalan lancar tanpa kerenah birokrasi.

”Kami juga memohon sokongan teknikal termasuk bimbingan khusus bagi pemilik kedai warga emas atau mereka yang kurang mahir teknologi dalam mengendalikan terminal pembayaran MyKad.

”Pada masa sama, kami berharap proses tuntutan bayaran balik kepada peruncit dapat dipercepatkan bagi mengekalkan aliran tunai mereka,” katanya.