Pergerakan penumpang MAHB cecah 153.3 juta pada 2025

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Januari – Pergerakan penumpang di seluruh rangkaian lapangan terbang global Kumpulan Malaysia Airports (MAHB) mencecah 153.3 juta pada 2025; menandakan momentum perjalanan yang positif seiring permulaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pergerakan penumpang MAHB mencapai 153.3 juta pada 2025, menandakan momentum perjalanan positif.
  • Rangkaian domestik 39 lapangan terbang mengendalikan 104.4 juta penumpang, naik 11.2 peratus.
  • Disember 2025 paling mencabar dengan 10 juta penumpang; lebih satu juta penumpang dalam tiga hari berturut-turut.
  • KLIA catat 63.3 juta penumpang (naik 10.8%); Istanbul Sabiha Gökçen kendalikan 49 juta penumpang.

Menurut MAHB, rangkaian domestik yang merangkumi 39 lapangan terbang, mengendalikan 104.4 juta penumpang sepanjang 2025, meningkat 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

”Disember 2025 merupakan bulan operasi paling mencabar sepanjang tahun, dengan 10 juta penumpang dikendalikan di lapangan terbang seluruh negara; meningkat 15.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

”Bulan tersebut yang merupakan tempoh kemuncak musim perayaan dengan sambutan Krismas dan tahun baharu, merekodkan lebih satu juta penumpang dalam tempoh tiga hari berturut-turut, namun prestasi kekal stabil,” menurut kenyataan itu.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata prestasi tersebut mencerminkan tahap kesiapsiagaan operasi lapangan terbang di seluruh rangkaian.

“Pengendalian lebih satu juta penumpang dalam tempoh tiga hari mencerminkan keberkesanan perancangan operasi, penyelarasan yang baik dengan rakan syarikat penerbangan, serta dedikasi pasukan barisan hadapan kami di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan sama.

Bagi Disember, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan pertumbuhan trafik tertinggi dengan aliran trafik seramai 6.1 juta penumpang.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang dikendalikan KLIA sebanyak 63.3 juta penumpang sepanjang tahun lalu, meningkat 10.8 peratus berbanding 2024.

Manakala, Lapangan Terbang Subang (SZB) mencatat pertumbuhan bulanan tertinggi sebanyak 34.4 peratus, meningkat daripada 142,000 kepada 191,000 penumpang.

Selain pengembangan rangkaian yang berterusan, pertumbuhan kukuh itu turut dipacu penambahan rakan syarikat penerbangan dan destinasi baharu di seluruh rangkaian lapangan terbang di Malaysia.

Dalam pada itu, MAHB memaklumkan bahawa asetnya, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen di Türkiye mengendalikan 49 juta penumpang pada 2025, meningkat 17.5 peratus berbanding 2024.

MAHB komited untuk mengukuhkan daya tahan perkhidmatan, kesiapsiagaan kapasiti serta memacu pertumbuhan berasaskan perkongsian seiring momentum perjalanan yang berterusan sepanjang TMM 2026 untuk tempoh akan datang.