
PUTRAJAYA, 6 April – Tiga tindakan utama digariskan sebagai langkah memperkukuh daya tahan ekonomi Bumiputera khususnya mendepani ketidaktentuan global susulan konflik geopolitik yang berlarutan di Asia Barat.
- Laksanakan penilaian segera dan menyeluruh untuk kenal pasti kesan konflik terhadap ekonomi Bumiputera.
- Gunakan intervensi bersasar dan berimpak tinggi untuk membantu usahawan Bumiputera pulihkan operasi dan aliran tunai.
- Tegaskan pelaksanaan berakauntabiliti untuk memastikan tindakan cepat dan hasil yang diukur.
- Galakkan kerjasama kerajaan, institusi dan pemain industri serta perkukuh asas dalaman untuk daya tahan dan penciptaan nilai.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pendekatan lebih tegas, pantas dan bersasar melalui tiga tindakan iaitu penilaian segera dan menyeluruh, intervensi bersasar dan berimpak tinggi serta pelaksanaan tegas dan berakauntabiliti.
Justeru, beliau turut menyeru semua pihak sama ada kerajaan mahupun institusi dan pemain industri bergerak sebagai satu pasukan.
“Konflik ini memberi tekanan langsung kepada ekonomi global,dan Malaysia tidak terkecuali dengan ketidaktentuan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos logistik yang terus menekan inflasi.
“Lebih membimbangkan, usahawan Bumiputera kini berdepan peningkatan kos operasi serta cabaran aliran tunai yang semakin ketara”, katanya.
Beliau memaklumkannya menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera (JPMEB) 2026.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi JPMEB turut berkata, dalam suasana global yang tidak menentu, negara tidak terlalu bergantung kepada kekuatan luar semata- mata.
“Kita mesti memperkukuh asas dalaman agar ia lebih tersusun, lebih berdaya tahan, dan lebih berkeupayaan mencipta nilai sendiri”, katanya.