
KUALA LUMPUR, 21 Januari – Prestasi perdagangan Malaysia yang merekodkan nilai lebih RM3 trilion pada 2025 membuktikan keupayaan negara memanfaatkan pemulihan perdagangan global.
- Prestasi kukuh sektor elektrik dan elektronik menyumbang lebih 44 peratus kepada jumlah eksport negara.
- Lebihan dagangan tahunan RM151.8 bilion menandakan daya saing eksport Malaysia tetap terpelihara.
- Pemelbagaian pasaran bukan tradisional mengurangkan risiko geopolitik dan ketergantungan pasaran utama.
- Perjanjian FTA seperti CPTPP dan RCEP menyokong penyusunan semula rantaian bekalan dan peningkatan nilai eksport.
Pencapaian ini dipacu terutamanya oleh prestasi kukuh sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang kini menyumbang lebih 44 peratus daripada jumlah eksport negara.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, lebihan dagangan tahunan RM151.8 bilion turut mencerminkan daya saing eksport negara masih kekal terpelihara, meskipun berdepan ketidaktentuan global.
“Peralihan daripada pertumbuhan berasaskan kitaran kepada pengukuhan struktur perdagangan melalui peningkatan nilai tambah, kepelbagaian sektor dan pasaran, serta sokongan kepada permintaan domestik dan pelaburan berkualiti amat penting.
“Dalam konteks ini, RM3 trilion wajar dilihat sebagai satu tahap pencapaian, manakala kejayaan sebenar ialah keupayaan Malaysia membina perdagangan yang lebih stabil dan tahan kitaran.
“Ia selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya kepada RTM.
Menurutnya lagi, usaha mempelbagaikan pasaran eksport ke negara bukan tradisional merupakan langkah strategik bagi mengurus risiko dalam landskap perdagangan global yang semakin berteraskan kepentingan nasional.
Langkah itu mampu membina perlindungan geoekonomi dengan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional yang lebih terdedah kepada kejutan geopolitik dan perubahan dasar.
Dalam masa sama, sumbangan Rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia yang komprehensif turut memberi impak positif.
Ini termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), kepada eksport negara dilihat lebih ketara dari segi penyusunan semula rantaian bekalan berbanding lonjakan volum eksport.
“Ke hadapan, keberkesanan strategi ini bergantung kepada keupayaan Malaysia mengenal pasti pasaran khusus yang spesifik bagi setiap negara serta menaikkan nilai eksport melalui produk bernilai tambah seperti makanan diproses, peranti perubatan dan produk hijau,” katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia mencatat sejarah apabila jumlah perdagangan negara melebihi RM3 trilion buat kali pertama.
Pencapaian itu disumbangkan oleh hubungan perdagangan yang baik dengan rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat, Eropah dan China, selain kejayaan meneroka pasaran baharu bagi mengukuhkan aliran perdagangan negara.