Penutupan Selat Hormuz boleh cetus kesan rantaian global

FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Penutupan Selat Hormuz susulan konflik Israel-Iran mampu menjejaskan bekalan minyak dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penutupan Selat Hormuz boleh mengganggu sekitar 20% perdagangan minyak dunia, memberi tekanan besar kepada ekonomi global.
  • Gangguan laluan ini berisiko mencetuskan kesan rantaian terhadap pasaran tenaga dan ekonomi antarabangsa.
  • Hubungan strategik Iran dengan China dan penglibatan Rusia menambah dimensi kuasa besar dalam konflik ini.
  • Negara bergantung pada selat perlu menilai risiko dan mengutamakan kestabilan geopolitik untuk melindungi laluan perdagangan.

Ini susulan Selat Hormuz yang terletak di selatan Iran merupakan laluan utama membawa komoditi itu ke pasaran dunia.

Menurut penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, selat itu yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia merupakan titik kritikal yang mampu memberi tekanan besar kepada ekonomi global sekiranya berlaku gangguan, termasuk kepada Asia.

“Konflik berkenaan perlu dilihat dalam konteks percaturan kuasa besar dunia, termasuk hubungan strategik Iran dengan China serta peranan Rusia yang kini terikat dengan konflik di Ukraine.

Sementara itu, pakar Kajian Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, UAE University, Profesor Dr Mohd Mizan Azlam berkata, negara-negara yang bergantung kepada laluan berkenaan perlu melakukan penilaian rapi bagi mengelakkan konflik berskala besar yang boleh menjejaskan laluan strategik berkenaan.

“Negara-negara yang bergantung kepada Selat Hormuz termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain, Oman, Kuwait dan Arab Saudi sebenarnya cukup teliti menganalisis situasi ini dan tidak mahu sebarang gangguan yang boleh mencetuskan kesan rantaian terhadap pasaran tenaga serta ekonomi global,” katanya.

Tambah beliau, pelabuhan strategik Iran seperti Bandar Abbas dan Chabahar juga memainkan peranan penting dalam jaringan perdagangan serantau yang sekali gus menekankan keperluan memastikan kestabilan geopolitik rantau itu.