Peningkatan kos binaan: harga rumah dijangka kekal stabil – REHDA

Kebanyakan pemaju dijangka kekal berhati-hati untuk menaikkan harga hartanah meskipun kos pembinaan meningkat dua hingga tiga peratus akibat tekanan operasi dan logistik/Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 6 Januari – Harga hartanah kediaman diunjur kekal stabil dengan peningkatan secara minimum didorong terutamanya oleh kenaikan kos bahan binaan, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemaju kekal berhati-hati menaikkan harga jualan walaupun kos bahan binaan meningkat sekitar dua hingga tiga peratus.
  • Pelarasan harga bergantung pada model perniagaan pemaju, strategi jualan dan sokongan pembiayaan oleh bank.
  • Seruan kepada pengeluar tempatan untuk kawal kos bahan binaan bagi elak menjejaskan kemampuan mampu milik.

Presiden REHDA, Datuk Ho Hon Sang berkata, walaupun kos pembinaan naik sekitar dua hingga tiga peratus berikutan tekanan operasi dan logistik, kebanyakan pemaju kekal berhati-hati untuk meningkatkan harga jualan.

”Berdasarkan maklumbalas daripada ahli kami, terdapat kemungkinan harga akan naik sedikit bergantung pada jenis produk dan beberapa faktor lain.

”Tetapi secara umumnya langkah untuk meningkatkan harga jualan bukanlah perkara yang mudah. Bank mungkin tidak menyokong anda, jika harganya lebih tinggi dan menyebabkan pembeli tidak mampu untuk membeli,” katanya pada majlis pra-pelancaran Siri CEO Institut REHDA 2026 di sini, hari ini.

Tambahnya, sebarang pelarasan harga juga bergantung kepada model perniagaan pemaju dan kekuatan strategi jualan serta pemasaran masing-masing.

Jelasnya, ketika ini sektor hartanah dan pembinaan negara kebanyakannya masih bergantung kepada bahan binaan tempatan.

Justeru, beliau menggesa pengeluar dan pengilang tempatan agara kekal waspada terhadap peningkatan kos bahan binaan, yang boleh menjejaskan kemampuan harga hartanah.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Ucapan Amanat Tahun Baru 2026 menyatakan, kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk melonggarkan syarat import, bagi memastikan kos bahan binaan kekal terkawal dan tidak membebankan orang ramai.