Pemberi kredit dan penyedia perkhidmatan kredit wajib lesen serta daftar SKP

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 2 Mac – Berkuat kuasa mulai 1 Jun ini, semua pemberi kredit dan perkhidmatan kredit perlu memperoleh lesen serta berdaftar dengan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemberi kredit perlu memiliki lesen SKP mulai 1 Jun untuk pematuhan Akta Kredit Pengguna 2025.
  • Penyedia perkhidmatan kredit wajib berdaftar dengan SKP, termasuk agensi pemungutan dan kaunseling hutang.
  • Langkah ini mengukuhkan perlindungan pengguna serta memastikan amalan kredit lebih telus dan bertanggungjawab.

Ia selaras dengan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 atau Akta 873 (AKP) bermula 1 Mac 2026.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan kerajaan memberikan tempoh peralihan enam bulan kepada pihak industri untuk memohon lesen atau pendaftaran di bawah AKP.

“Langkah ini bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan tadbir urus industri kredit, serta memastikan amalan pemberian kredit yang lebih telus, adil, bertanggungjawab, dan profesional,” menurut kenyataan itu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata usaha ini adalah langkah penting kerajaan bagi membina sistem kredit yang telus dan bertanggungjawab.

“Dengan penguatkuasaan AKP dan penubuhan SKP, kerajaan meneguhkan perlindungan pengguna agar mereka tidak terdedah kepada amalan kredit yang tidak adil atau tidak beretika,” katanya.

Datuk Seri Amir berkata, di bawah AKP, pemberi kredit seperti syarikat skim “Beli Sekarang Bayar Kemudian” (Buy Now Pay Later/BNPL), syarikat pemajakan, dan syarikat pemfaktoran diwajibkan memperoleh lesen daripada SKP.

Sementara itu, penyedia perkhidmatan kredit seperti agensi pemungutan hutang, syarikat pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, serta agensi kaunseling dan pengurusan hutang juga perlu berdaftar dengan SKP.