NIF beri pulangan berganda kepada ekonomi negara – MIDA

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 JanuariKerangka Insentif Baharu (NIF), yang bakal dilaksanakan bermula 1 Mac, akan memastikan setiap ringgit yang dilepaskan kerajaan menghasilkan pulangan berganda kepada ekonomi negara, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

RINGKASAN BERITA AI
  • NIF bermula 1 Mac untuk memastikan setiap insentif kerajaan menghasilkan pulangan berganda kepada ekonomi negara.
  • Fokus kepada pelaburan bernilai tinggi, inovasi, kemampanan, dan nilai tambah kepada PKS serta bakat tempatan.
  • Permohonan pembuatan lama kekal mengikut terma; permohonan baru selepas 1 Mac dinilai di bawah NIF.
  • MIDA akan membimbing pelabur sepanjang peralihan dan menggunakan platform digital untuk pemprosesan permohonan.

Beliau berkata keutamaan bukan sekadar menarik pelaburan, sebaliknya menekankan nilai yang lebih tinggi, hubungan industri yang lebih mendalam serta manfaat yang lebih besar kepada ekonomi negara, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat.

Beliau turut memaklumkan NIF itu juga berteraskan prinsip pulangan terhadap insentif yang diberikan kerajaan.

“Dari segi pelaksanaan, permohonan insentif bagi sektor pembuatan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 masih akan diterima oleh MIDA selewat-lewatnya pukul 3.00 petang pada 28 Februari 2026.

Semua permohonan baharu bagi sektor pembuatan yang dikemukakan mulai 1 Mac 2026 akan dinilai di bawah NIF. Syarikat perkilangan yang telah menerima kelulusan sedia ada tidak akan terjejas dan insentif mereka akan diteruskan mengikut terma serta syarat yang diluluskan”, katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim berkata, rangka kerja berkenaan akan menarik pelaburan bernilai tinggi, dipacu inovasi dan mampan, selain memberikan manfaat limpahan kepada PKS tempatan serta bakat Malaysia.

“MIDA akan membimbing pelabur sepanjang tempoh peralihan dan memanfaatkan platform digital bagi pemprosesan permohonan secara menyeluruh dari awal hingga akhir.

“NIF menandakan perubahan paling signifikan dalam dasar pelaburan Malaysia sejak beberapa dekad lalu, selaras dengan peralihan ke arah pertumbuhan pelaburan berasaskan hasil dan nilai tambah,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan NIF bagi sektor perkilangan akan mula dilaksanakan pada 1 Mac 2026, diikuti oleh sektor perkhidmatan pada suku kedua tahun ini.

Pelaksanaan kerangka baharu itu juga sekali gus menandakan satu anjakan dasar strategik yang signifikan dalam landskap insentif pelaburan negara.